Malaysia Dateline

Pemuda PH desak Amerika Syarikat henti salur dana kepada Israel

Pemuda Pakatan Harapan menyambut baik gencatan senjata antara Israel dan Hamas bagaimanapun berharap Amerika Syarikat memberi jaminan bahawa memastikan adanya pematuhan genjatan senjata ini.

Dalam masa yang sama Pemuda Pakatan Harapan juga menggesa Amerika Syarikat agar menghentikan pemberian dana ketenteraan dan penjualan senjata api kepada Israel.

Ketuanya Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, kerajaan Amerika Syarikat hendaklah memastikan Israel mematuhi gencatan senjata terutamanya apabila melihat Israel mempunyai kecenderungan melanggar perjanjian gencatan senjata seperti yang berlaku pada tahun 2014.

Shazni Munir mewakili Pemuda Pakatan Harapan menyerahkan memorandum di Kedutaan Amerika Syarikat selepas solat Jumaat

“Kami juga menyeru agar Kerajaan Amerika Syarikat menyemak semula hubungan diplomatiknya dengan negara penjenayah Israel dan menghentikan sebarang penjualan senjata api dan dana ketenteraan kepada Israel.

“Rekod menunjukkan, Kerajaan Amerika Syarikat memberi dana sebanyak US$3.8 bilion setiap tahun kepada negara penjenayah Israel.

“Kami juga mengambil maklum usaha yang diambil Presiden Amerika Syarikat, Mr. Joe Biden bersama dengan Kerajaan Mesir dalam mencapai gencatan senjata yang sangat penting ini walaupun kami percaya bahawa ia sepatutnya berlaku jauh lebih awal selepas lebih daripada 200 orang Palestin termasuk wanita dan juga kanak-kanak terkorban dan ribuan yang lain tercedera.

Pemuda Pakatan Harapan hari ini menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Amerika Syarikat berhubung pematuhan genjatan senjata Israel dan Hamas selain mengecam kekejaman Israel terhadap umat Islam Palestin termasuk kanak-kanak dan wanita.

Shazni berkata, mereka berdiri teguh bersama resolusi yang dicadangkan di dalam Dewan Senat Amerika Syarikat oleh Senator Bernie Sanders bahawa Kerajaan Amerika Syarikat menghentikan rancangan menjual senjata sebanyak US$735 Juta kepada Israel.

“Kami percaya bahawa ia tidak pernah lebih jelas bahawa Israel telah melakukan pelbagai kesalahan hak asasi manusia dan jenayah perang selama ini.

“Pembunuhan Warga Palestin yang tidak bersalah termasuk orang awam, wanita dan kanak-kanak dan pengeboman bangunan media di Gaza merupakan secara terang tindakan jenayah perang dan melampaui batas kemanusiaan oleh Kerajaan Israel yang diketuai oleh Angkatan Tentera Israel (IDF),” kata beliau.

Sepanjang 11 hari konflik Israel Palestin, seramai lebih daripada 240 orang telah terbunuh, termasuk lebih 100 orang kanak-kanak dan wanita, beribu yang tercedera, berpuluh ribu yang kehilangan tempat berteduh serta
beratus bangunan termasuk hospital, bangunan penempatan dan menara media yang telah musnah, kebanyakannya di Gaza.