Malaysia Dateline

Pemuda PH desak kerajaan percepat vaksin kepada pemandu e-hailing, penghantar makanan

Pemuda Pakatan Harapan (PH) mendesak kerajaan mempercepat pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada golongan pemandu e-hailing dan juga penghantar makanan.

Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, pihak kerajaan tidak harus mempertaruhkan nasib mereka terbabit dengan melengahkan proses vaksinasi kepada mereka.

“Mereka juga sebahagian daripada barisan hadapan yang berhempas pulas memastikan ekonomi dalam kalangan rakyat terus berjalan walaupun dalam fasa sekatan pergerakan penuh.

“Mereka ini mempunyai risiko yang tinggi terhadap penyebaran wabak Covid-19 seperti mana pekerja industri yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan bersama tersebut juga melibatkan Ketua Pemuda Sosialis DAP Kebangsaan, Howard Lee dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Akmal Nasir.

Mengulas lanjut, Shazni yang juga Ketua Pemuda AMANAH Nasional berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu memasukkan pemandu e-hailing dan penghantar makanan dalam program vaksinasi fasa keempat yang bermula bulan ini.

“Merujuk kepada kenyataan terbaharu pihak kerajaan dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+) yang menjanjikan bantuan secara “one-off payment” bernilai RM500 kepada hampir 100,000 pemandu teksi, bas, dan juga servis “e-hailing”, kami dapati bahawa masih terdapat ruang penambahbaikan supaya nasib mereka terbela,” katanya.

Dalam masa sama, Shazni berkata, selain daripada pemberian bantuan secara “one-off”, kerajaan juga perlu mengkaji semula kadar potongan komisen terhadap syarikat-syarikat “e-hailing”.

Pemuda PH, jelasnya, menyarankan agar kadar pemotongan komisen bagi pemandu e-hailing dikurangkan kepada 15 peratus berbanding 20 peratus pada masa ini.

“Kadar terkini yang memotong hampir 20 peratus daripada bayaran kepada pemandu dilihat agak tinggi dan membebankan para pemandu “e-hailing”.

“Cadangan kami adalah supaya kadar potongan komisen ini dikurangkan kepada 15 peratus.

“Hal ini dapat membantu meringankan beban para pemandu dalam menghadapi era
pandemik ini,” katanya lagi.