Malaysia Dateline

Pemuda PH diseru kerja luar biasa penuhi harapan rakyat menangi PRU 14.

 

Hanya dengan kerja secara luar biasa oleh setiap pemuda Pakatan Harapan (PH), impian rakyat untuk menukar kerajaan pada PRU 14 menjadi kenyataan.

“Semua penggerak pemuda PH perlu memberi komitmen maksima memastikan calon-calon lawan dapat dikalahkan,” kata Ketua Pemuda AMANAH Kubang Kerian Abdullah Zawawi Abdul Wahab.

Pemuda AMANAH Kubang Kerian malam tadi mengadakan mesyuarat penubuhan dan berjaya membentuk satu jawatankuasa baru yang diketuai beliau.

Abdullah Zawawi Abd Wahab

Dalam ucapannya sebaik sahaja dilantik, Abdullah Zawawi mengingatkan semua jawatankuasanya terus memulakan tugas.

“Saya cuma nak berpesan kepada semua jawatankuasa yang baru dilantik supaya dapat memberi komitmen.

“Pemuda adalah tulang belakang parti, parti akan jadi cacat kiranya kita pemuda lumpuh.

“Oleh itu saya berseru merayu pada semua supaya dapat bekerja 200 peratus mulai malam ini untuk menghadapi PRU14.

“Kita semua yang telah dilantik sebagai jawatankuasa pemuda AMANAH Kubang Kerian adalah yang terbaik, jawatan adalah amanah dari Allah¬† swt,” katanya.

Gerakan pemuda AMANAH Kelantan menurutnya perlu merakamkan rasa terima kasih atas motivasi dan sokongan pimpinan negeri.

“Walaupun kita bergerak dalam serba kekurangan, kita ada kelebihan yang amat besar.

“Hampir semua pimpinan negeri tidak jemu memberi motivasi dan dorongan kepada semua kerja-kerja kita.

“Seperti malam ini, walaupun kita tahu Datuk Dr Abdul Halim Yusof Naib Pengerusi AMANAH Negeri begitu sibuk, namun beliau memilih untuk bersama kita merasmikan mesyuarat ini,” katanya.

Kawasan Parlimen Kubang Kerian kini diwakili  Ahmad Baihaki Atiqullah dikatakan kubu kuat AMANAH.

“Ini kerana ketiga-tiga ahli Parlimen kawasan itu sebelum ini, Mohamad Sabu, Salehuddin Ayub dan Datuk Husam Musa adalah pemimpin-pemimpin tertinggi AMANAH.