Malaysia Dateline

Pemuda PH Jelajah Asnaf bantu golongan memerlukan

Pemuda Pakatan Harapan (PH) Kepala Batas meneruskan agenda peduli rakyat dengan turun padang membantu golongan yang memerlukan.

Program yang dimulakan dengan menjelajah tiga kawasan Dun iaitu Penaga, Bertam dan Pinang Tunggal turut disertai oleh pimpinan PH seawal 9 pagi hingga jam 3 petang.

Menurut Ketua Pemuda AMANAH Kepala Batas, Nasrul Hisyam, tumpuan diberikan adalah terhadap golongan yang menghadapi masalah kesihatan dan kurang berkemampuan sekitar kawasan Parlimen Kepala Batas yang merangkumi ketiga-tiga kawasan Dun.

“Sumbangan yang diberikan merupakan keperluan hari seperti barangan dapur, susu serta lampin pakai buang untuk dewasa.

” Menjaga kebajikan masyarakat setempat sudah menjadi keutamaan dan akan terus ditingkatkan bagi memastikan semua golongan masyarakat yang memerlukan senantiasa mendapat pembelaan khususnya dibawah pentadbiran kerajaan PH negeri Pulau Pinang.

” Ukhwah akan tetap diteruskan kerana ia mampu untuk menjadi tempat penyatuan bagi mengembalikan kesepaduan masyarakat dengan tidak mengambil kira fahaman politik serta perbezaan ras maupun agama,” tegasnya lagi.

Sementara itu Ketua Pemuda PKR cabang Kepala Batas, Zainuddin Mohamed berkata bahawa kerjasama yang dilaksanakan ini mampu untuk menzahirkan kesepaduan antara komponen PH demi menjaga kepentingan masyarakat yang memerlukan khususnya dalam Parlimen Kepala Batas.