Malaysia Dateline

Pemuda PH lapor polis terhadap Takiyuddin

Pemuda Pakatan Harapan (PH) hari ini membuat laporan polis terhadap Menteri Undang-undang, Datuk Takiyuddin Hassan berhubung kenyataan beliau berkenaan ‘nasihat’ kabinet kepada Yang Dipertuan Agong (YDPA) tentang kedudukan tempoh darurat.

Menurut Ketuanya Mohd Shazni Munir Ithnin, kenyataan Takiyuddin itu telah menyimpang daripada Seksyen 2 (1) Ordinan Darurat (Kuasa Kuasa Perlu) 2021 yang memperuntukkan hendaklah ditubuhkan suatu jawatankuasa bebas untuk menasihati YDPA mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan, ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan berikutan wabak penyakit berjangkit iaitu Covid-19.

“Lebih membimbangkan, kami khuatir kenyataan yang dibuat Takiyuddin sebagai salah satu cara menghasut orang ramai untuk bertindak pada YDPA sekiranya YDPA memutuskan sesuatu yang bertentangan atau tidak selari dengan kehendak kabinet yang dianggotai oleh Takiyuddin sendiri,” kata beliau yang juga Ketua Pemuda AMANAH Nasional.

Tegasnya, sekiranya wujud kecenderungan ke arah itu, ianya merupakan kesalahan jelas di sisi undang-undang dan kami gesa untuk Takiyuddin disiasat segera.

Turut membuat laporan adalah Ketua Pemuda AMANAH Melaka,  Muhammad Kamal serta Ahli Jawatankuasa Pemuda Pakatan Harapan, Haziq Norizan dan Shahrul Shahabudin.