Pemuda PH mahu kerajaan tumpu majukan ekonomi rakyat, tingkatkan aspek penerangan

Oleh ARIF ATAN

Pemuda Pakatan Harapan (PH) sepakat memperjuangkan kepentingan ekonomi rakyat selaras dengan fokus kerajaan untuk merapatkan jurang pendapatan antara negeri, golongan yang kaya dengan miskin serta bandar dan luar.

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Angkatan Muda Keadilan (AMK), Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), dan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menyifatkan tahun 2020 merupakan detik penting untuk kerajaan menggandakan usaha demi pembangunan golongan muda dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Syazmir Hariz Noorazalan

Naib Ketua Pemuda AMANAH Gombak, Syazmir Hariz Noorazalan berpendapat kerajaan PH harus menumpukan tiga agenda merangkumi isu kos sara hidup, transformasi pendidikan, serta penambahbaikan jentera komunikasi kerajaan.

Menurutnya, kerajaan diharap dapat mengadakan program yang mampu memberi kesan secara langsung kepada rakyat sekali gus dapat mengurangkan beban mereka.

“Pada masa ini, segala dasar kerajaan amat baik untuk jangka panjang tetapi gagal dirasai secara langsung oleh rakyat,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Jelasnya, kerajaan yang sedang menggubal dasar pendidikan negara juga harus memberi perhatian kepada mutu pendidikan yang membentuk keperibadian rakyat yang baik.

Dalam masa sama, ujarnya, sistem komunikasi kerajaan perlu ditambahbaik agar segala manfaat dasar kerajaan dapat difahami oleh seluruh rakyat.

“Kegagalan kerajaan memberi penerangan kepada rakyat membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk menimbulkan maklumat yang salah pada masyarakat,” kata Syazmir Hariz lagi.

Shariful Azmir Mustafa

Sementara itu, Exco AMK, Shariful Azmir Mustafa mengingatkan biarpun kerajaan sedang memasuki tempoh dua tahun pentadbiran dalam era Malaysia Baharu, namun realitinya rakyat masih tersepit dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

Ini kerana katanya, kerajaan dilihat lebih fokus memberi pelbagai bentuk insentif kepada rakyat, berbanding mencari jalan agar ekonomi mereka tidak lagi menjadi satu bebanan.

“Kerajaan perlu mencari inisiatif agar pendidikan bukan lagi bebanan kepada anak muda terutama berkaitan yuran pengajian yang mana kita mahu semua anak muda berhak mendapat pendidikan.

“Begitu juga peluang pekerjaan kepada anak muda kerana perlu diakui peratusan pengangguran di negara ini amat membimbangkan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Jelasnya, isu peralihan kuasa yang tertangguh juga diharap dapat disegerakan bagi menarik lebih ramai pelabur yang sebelum ini kebanyakannya mula membekukan pelaburan mereka.

“Walaupun berat namun kita perlu akui kerajaan masih gagal dalam menunaikan manifesto.

“Jika isu peralihan kuasa pun pimpinan masih gagal untuk dilaksana, maka tahun 2020 kita akan mengalami tahun yang paling merundum dan melihat kegagalan demi kegagalan kerajaan seperti apa yang berlaku tahun ini,” ujar Shariful Azmir lagi.

Meredakan keresahan

Aziim Mustafa

 

Bagi Ketua ARMADA Negeri Sembilan, Muhammad Aziim Mustafa pula, kerajaan lebih baik terus memberi perhatian kepada rakyat yang mahukan perubahan dari segi ekonomi, pendidikan, dan peluang pekerjaan.

Beliau berkata, pendidikan perlu diberi suntikan dana yang secukupnya bagi melahirkan golongan pakar dalam semua bidang sehingga negara tidak perlu lagi menggunakan perkhidmatan pakar luar.

Jelasnya, kerajaan PH perlu menggerakkan agenda untuk membasmi kemiskinan tegar yang semakin meningkat dalam negara sebelum memberi bantuan kepada negara-negara lain.

“Sehubungan itu juga, menteri-menteri yang dipertanggungjawabkan perlulah memainkan peranan sewajarnya di samping membantu Dr Mahathir memajukan negara,” tegas Aziim lagi.

Muhammad Syakir Ameer

Pelbagai inisiatif kerajaan yang merancakkan semula ekonomi negara dilihat akan meredakan keresahan rakyat berhubung isu kenaikan kos sara hidup, tegas Naib Ketua Pemuda DAP, Muhammad Syakir Ameer.

Walau bagaimanapun, ujarnya, perkara pertama yang perlu diberi perhatian adalah menambahbaik jentera komunikasi kerajaan agar segala usaha dan pencapaian PH dapat disebar secara menyeluruh hingga ke peringkat akar umbi.

“Saya bagi contoh, macam subsidi petrol untuk golongan sasaran yang sekarang sudah ditarik balik. Ini kerana tiada komunikasi dengan mereka yang di peringkat akar umbi.

“Sebenarnya, untuk polisi besar sebegini, saya rasa lebih baik kita pergi turun ke lapangan.

“Kita kaji suasana kehidupan golongan berpendapatan rendah (B40), buat satu forum dan berjumpa orang ramai berkenaan dasar yang dibuat,” sarannya kepada Malaysia Dateline.

Sambil menyifatkan komunikasi di bawah kerajaan PH perlu ditambah baik, Syakir berpendapat media hari ini juga harus tidak menggunakan isu sensasi untuk menaikkan rating syarikat bekerja.

“Isu perkauman paling penting. Sebenarnya kalau media memainkan peranan dengan laporan yang baik, rakyat secara automatik tidak akan lihat semua isu dalam segi perkauman.

“Saya juga berharap peralihan kuasa untuk Perdana Menteri akan dilaksana dalam suasana yang baik dengan cara teratur supaya kita tak menggunakan permainan politik,” ujarnya lagi.