Malaysia Dateline

Pemuda PH Melaka gesa polis siasat laporan RCI

Pemuda Pakatan Harapan (PH) Negeri Melaka menggesa polis menyiasat anggota Suruhanjaya Diraja (RCI) kerugian urus niaga forex Bank Negara Malaysia (BNM) kerana mengemukakan laporan yang tidak lengkap ekoran sebahagian bahan dan lampiran yang dibentangkan sepanjang prosiding tersebut telah gagal, cuai atau tidak dimasukkan sama sekali.

“Secara jelas laporan “Royal Commission of Inquiry” (RCI) tersebut tidak lengkap kerana bahan dan lampiran yang dikemukakan sepanjang prosiding tersebut telah gagal, cuai atau tidak dimasukkan sama sekali,” kata Bendahari Pemuda PH Melaka, Prasanth Kumar Brakasam setelah membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh, 20 Disember lalu.

 

Prasanth Kumar Brakasam

Prasanth memetik kenyataan peguam Tun Mahathir Mohamad, Haniff Khatri bahawa laporan RCI tersebut telah ketinggalan keseluruhan nota prosiding berkaitan keterangan lisan saksi-saksi yang dipanggil diberi keterangan dan dirakam dalam prosiding tersebut sama ada secara transkripsi mahupun secara rakaman video.

“Kesemua permohonan pihak-pihak (termasuk lampiran-lampiran yang dikembarkan bersama permohonan tersebut) sama ada melalui permohonan bertulis mahupun permohonan lisan (sama ada secara transkripsi mahupun secara rakaman video).

“Keseluruhan hujahan pihak-pihak (termasuk ikatan otoriti yang dikembarkan bersama hujahan tersebut), sama ada melalui hujahan bertulis mahupun hujahan lisan (sama ada secara transkripsi mahupun secara rakaman video),” kata beliau.

Katanya lagi, selepas membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh, beliau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin kerana dipanggil untuk disoal mengenai laporan tersebut dan beliau telah memberikan keterangan mengenai perkara tersebut.

“Saya menggesa agar pihak polis menyiasat laporan RCI yang tidak lengkap itu agar fakta yang benar tidak disembunyikan atau diseleweng apabila ia diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong,” kata Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Melaka itu.