Malaysia Dateline

Pemuda PH persoal kroni mana dapat AP ayam tambahan

Pemuda Pakatan Harapan (PH) mempersoalkan cadangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenai penambahan permit import (AP) ayam ketika musim perayaan.

Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, penambahan AP ayam sebenarnya memakan masa apatah lagi ketika kerajaan masih di peringkat memulakan perbincangan antara kementerian.

“Kita tertanya-tanya juga apa keperluan penambahan AP ayam setelah diumumkan SHMMP (Skim Harga Maksimum Musim Perayaan)?

“Kalau pun ianya bersifat serampang dua mata dalam menyelesaikan masalah harga ayam yang melambung kini, tidakkah proses itu akan memakan masa ketika perayaan Aidilfitri berbaki tiga minggu lagi?” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Semalam, KPDNHEP akan mengadakan rundingan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi membincangkan penambahan AP ayam bagi mengawal harga di pasaran.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata langkah itu diyakini mampu menyelesaikan masalah kenaikan harga haiwan ternakan itu, terutama ketika musim perayaan.

Mengulas lanjut, Shazni berkata, kerajaan sejak awal sepatutnya menumpukan usaha terhadap pengeluaran domestik dengan berbincang dan merancang beberapa bulan sebelum agar bekalan barangan mentah mencukupi dengan kadar harga yang telah ditetapkan.

“Namun, jika ini pun lambat atau tidak dibuat, bagaimana rakyat boleh percaya bahawa kerajaan akan telus dan tidak menyimpang dalam hal penambahan AP ayam ini?” soalnya.

Dalam masa sama, Ketua Pemuda AMANAH Nasional berpendapat jika prosedur berkaitan penambahan AP ayam itu diikuti dengan betul dibimbangi bekalan ayam mungkin sampai kepada pengguna selepas Hari Raya.

“Seandainya menteri yang terlibat ‘berjaya’ mengetepikan prosedur yang ada dengan pemberian kuota AP berkenaan secara terus; timbul persoalan lebih kritikal, kroni mana pula yang akan dapat AP ayam melalui jalan pintas itu?

“Tidakkah situasi ini bakal menambah persepsi buruk yang telah sedia terpalit pada kerajaan gagal?” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan agar tiada mana-mana pihak menangguk di air keruh dengan jalan pintas berhubung isu bekalan ayam yang akhirnya menguntungkan kroni semata-mata.