Malaysia Dateline

Pemuda PH Sabah buat laporan polis ke atas Mahiaddin, Takiyuddin

Pemuda Pakatan Harapan (PH) Sabah, Parti MUDA Sabah dan UPKO telah membuat satu laporan polis ke atas Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Md. Yasin selaku Ketua Eksekutif Negara dan Menteri Undang-Undang Datuk Seri Takiyuddin Hassan semalam.

Ketua Pemuda PH Sabah, Phoong Jin Zhe berkata ia adalah berkenaan kenyataan Istana Negara yang menyatakan bahawa Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) telah menzahirkan perasaan amat dukacita berkaitan kedudukan Ordinan Darurat yang dibuat di Parlimen pada 26 Julai 2021 oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tegasnya, merujuk kepada kenyataan Istana Negara, Datuk Seri Takiyuddin telah memaklumkan di Parlimen bahawa ‘Kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh Darurat’ namun pihak Istana Negara menafikan pembatalan belum lagi diperkenan Baginda.

“Kami percaya bahawa kenyataan Takiyuddin itu telah gagal menghormati Perlembagaan Persekutuan yang mana kuasa pembatalan Ordinan Darurat terletak pada YDPA, mengikut Perkara 150(2B) bersama 150(3).

“Justeru, pada pendapat kami, tindakan ini adalah jelas bercanggah dengan S.124B Kanun Keseksaan dan memudaratkan demokrasi berparlimen.

“Jelas, pihak kerajaan pimpinan Tan Sri Mahiaddin telah mengelirukan, membohongi dan membelakangi YDPA dan Dewan Rakyat, ” ujar beliau dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu, semalam.

Kata Jin Zhe, tindakan tegas mesti diambil ke atas Mahiaddin dan Takiyuddin termasuk seluruh Kabinet Kerajaan PN yang harus meletak jawatan kerana hilang moral dan kredibiliti untuk terus mentadbir.

“Semalam, DAPSY Sabah juga telah membuat laporan polis mengenai isu ini. Lapan bahagian DAPSY termasuk DAPSY Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Batu Sapi, Putatan, Penampang, Lahad Datu dan Keningau tampil membuat laporan polis dan menyeru pihak berkuatkuasa mengambil tindakan ke atas Mahiaddin dan Takiyuddin.

“Malah DAP juga konsisten dalam memelihara dan mempertahankan sistem Demokrasi Berparlimen dalam Pemerintahan Raja Berperlembagaan sekali gus berikrar untuk terus melindungi dan menghormati Perlembagaan Persekutuan,” ujar beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Luyang.