Malaysia Dateline

Pemuda Pakatan Harapan Sabah menunjukkan laporan polis terhadap SPR yang melarang Rang Daftar Pemilih Tambahan diedarkan kepada parti parti politik

Pemuda PH Sabah buat laporan polis terhadap SPR

Pemuda Pakatan Harapan (PH) Negeri Sabah membuat laporan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan isu larangan edaran Rang Daftar Pemilih Tambahan(RDPT) kepada parti politik.

Menurut Ketua Pemuda Amanah Sabah Khairuddin Daud, larangan edaran cakera padat RDPT itu akan menyusahkan parti-parti politik dan orang ramai untuk menyemak senarai daftar pemilih yang dikeluarkan SPR.

“Sebelum ini, SPR mengedarkan cakera padat yang mempunyai senarai daftar pemilih dalam bentuk format PDF dan Mdb. Ini memudahkan kita untuk menyemak serta meneliti senarai daftar pemilih yang dikeluarkan oleh SPR sekiranya ada pengundi hantu atau pengundi yang meragukan dalam senarai daftar pemilih. Selepas digazetkan tidak ada guna lagi untuk membantah kerana seksyen 9 Akta Pilihanraya tidak lagi membenarkannya,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di balai polis di Kota Kinabalu semalam.

Beliau hadir bersama Setiausaha Pemuda Amanah Sabah Asraf Sharafi dan Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah Razeef Rakimin.

Khairuddin juga berkata, tindakan SPR ini adalah sangat terkebelakang dan tidak menunjukkan semangat demokratik serta ketelusan pengurusan SPR.

“Larangan ini sangat tidak bersifat demokratik serta tidak menunjukkan persepsi bahawa SPR seharusnya bebas daripada mana-mana pengaruh politik seperti yang termaktub di dalam Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan iaitu SPR harus mendapat kepercayaan awam. Kepercayaan awam ini hanya boleh didapati sekiranya SPR bebas dan adil,” katanya.

Sementara itu, Razeef pula mendakwa larangan SPR ini keluar selepas beberapa siri pendedahan yang dibuat oleh NGO Bersih 2.0 serta beberapa badan lain terhadap isu pengundi hantu dan pengundi meragukan ini.

“Tindakan SPR itu juga nampak seolah-olah ingin menutup banyak lagi kesalahan SPR selepas beberapa pendedahan berkenaan pengundi hantu dan pemindahan pengundi yang didedahkan oleh Bersih dan parti politik pembangkang sebelum ini,” katanya.

Arahan larangan tersebut tular di media sosial berdasarkan satu surat yang dikeluarkan oleh Setiausaha SPR Malaysia Datuk Haji Abdul Ghani bin Salleh.

Sebelum ini, pihak Pemuda PH Sabah telah menghantar memorandum memohon penjelasan daripada SPR Negeri Sabah bagi mendapatkan rasional larangan edaran RDPT tersebut kepada parti-parti politik.

Namun sehingga kini tiada maklum balas daripada pihak SPR Cawangan Negeri Sabah mahupun SPR Malaysia.

“Dalam dunia yang serba moden hari ini, SPR bertindak sebaliknya, mengambil langkah ‘regresif’ dengan menafikan hak rakyat mendapatkan maklumat mengenai pengundi. Sepatutnya SPR menjadi pemudah cara, tapi yang berlaku sebaliknya”, ulas Asraf.