Malaysia Dateline

Pemuda PH sokong guna pas rel dan bas tanpa had

Nik Nazmi Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad

Pemuda Pakatan Harapan (PH) hari ini menggesa agar kerajaan menerima dan melaksanakan cadangan dibuat Kementerian Pengangkutan untuk memperkenalkan dua pas “Rapid Rail” dan “Integrated Rapid Bus” tanpa had bilangan perjalanan dan perkhidmatan KTM Komuter yang didiskaunkan.

Ketua Pemuda PH Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, manfaat cadangan kementerian itu amat besar kepada rakyat

“Bukan sahaja akan mengurangkan kesesakan lalu lintas, malah dapat meningkatkan mobiliti, produktiviti dan bermanfaat untuk alam sekitar.

“Sudah menjadi matlamat kerajaan untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam dengan memperkenalkan pas tanpa had dan tawaran diskaun akan menjadikan pilihan pengangkutan awam semakin menarik. Kaedah seperti ini sudah diamalkan di kebanyakan kota-kota maju,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berkata,cadangan itu selari dengan dalam manifesto Tawaran Anak Muda PH untuk Pilihan Raya Umum yang lalu.

“Kami sedar bahawa kewangan negara tidak stabil dan kerajaan perlu bijak untuk berbelanja. Jika ada apa-apa yang berbaloi untuk dibelanjakan, ia adalah hal pengangkutan awam ini.

“Selain itu, pelbagai usaha untuk meningkatkan kecekapan, jaringan, kelestarian alam sekitar dan sistem pengangkutan awam yang mesra pengguna mestilah diteruskan.

“Kita boleh mengkategorikan pas masuk ke masa puncak dan masa luar puncak untuk meningkatkan penggunaan pada masa luar puncak yang sangat rendah berbanding penggunaan masa puncak.

“Pelbagai pihak harus meningkatkan prestasi mereka, terutamanya jika cadangan ini diterima.

“Rakyat Malaysia perlu bekerja lebih keras untuk memenuhi keadaan ekonomi global yang mencabar pada masa hadapan,” ujarnya.

Ketua AMK ini berkata, amat tepat untuk kerajaan merealisasikan impian rakyat bagi tujuan membantu mengurangkan kos hidup-dengan menjadikan pengangkutan awam lebih murah, selamat dan boleh dipercayai.