Malaysia Dateline

Pemuda PH Terengganu siap hadapi pilihan raya

Walaupun Pakatan Harapan dilihat bergolak namun Pemuda PH Terengganu sudah mempersiapkan ahli mereka menghadapi pilihan raya hatta jika ia diadakan secara mengejut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda PH Terengganu Hasbie Muda bersama Ketua AMK Terengganu, Nazhan Zulkifli dan Ketua Pemuda AMANAH Terengganu, Zamir Ghazali, mereka maklum perkembangan politik terkini tanah air khususnya hubungan antara parti parti komponen PH dalam usaha mengembalikan mandat rakyat yang telah dirampas dengan zalim.

“Pemuda PH Terengganu ingin menegaskan bahawa ukhwah diantara pimpinan Pemuda PH Terengganu tetap utuh dan menyarankan kepada semua ahli ahli untuk memelihara hubungan ini dan berhati hati dalam mengeluarkan kenyataan.

“Jangan kita semua termakan dengan hasutan musuh yang ingin melihat PH terkubur.

“Seharusnya kita perlu merapatkan lagi hubungan sesama kita dalam menghadapi musuh kita yang nyata iaitu kerajaan Perikatan Nasional (PN),” kata kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh tiga pemimpin Pemuda PH Terengganu itu.

Mereka juga selaku pimpinan Pemuda PH Terengganu ingin menggesa ahli ahli mereka untuk fokus kepada persiapan menghadapi pilihanraya yang dijangkakan mungkin diadakan secara mengejut.

Penguasaan media social harus dipertingkatkan kerana kebebasan bersuara dan media yang bebas dan telus tidak lagi menjadi agenda kerajaan PN, kata mereka.

“Kita harus mainkan peranan kita dalam menyedarkan rakyat bahawa mandat mereka telah dikhianati, seorang demi seorang perasuah dibebaskan, jawatan demi jawatan difaraidkan.

“Apakah kita mahu lihat kerajaan kleptokrat 2.0 kembali berkuasa? Atau kita mahu memberikan sinar HARAPAN kepada rakyat bahawa kita mampu merubahnya sekali lagi,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, mereka  juga yakin usaha berterusan pimpinan PH dan juga PH Plus mampu menumbangkan kerajaan kleptokrat 2.0 ini dan mengembalikan mandat rakyat.

“Setiap daripada kita mampu memainkan peranan masing masing, setiap daripada kita mampu memberikan sumbangan yang amat bermakna kepada perjuangan ini,” kata kenyataan itu.