Malaysia Dateline

Pemuda PH Wilayah gesa segerakan vaksin kepada penghantar makanan

Pemuda Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan menggesa kerajaan mendahulukan suntikan vaksin Covid-19 terhadap penghantar makanan yang semakin bergerak aktif terutama sepanjang sekatan pergerakan penuh sehingga 14 Jun ini.

Ketuanya, Asmaaliff Abdul Adam berkata, risiko golongan terbabit dijangkiti dan menyebarkan virus yang membawa maut itu adalah tinggi memandangkan mereka turut menghantar makanan kepada mereka yang dikuarantin di kediaman masing-masing.

“Tanpa sedar, mereka (penghantar makanan) inilah pemangkin yang menghidupkan ekonomi saat sektor lain sedang lumpuh.

“Meletakkan pelaburan pada sektor ini sebenarnya bakal memberi pulangan besar kepada negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Asmaaliff Abdul Adam

Menurutnya, sektor yang banyak digerakkan oleh anak muda itu wajar diberikan keutamaan dalam program vaksinasi.

“Bukan sahaja demi kepentingan imuniti kelompok dan mengekang penularan, tapi juga dalam menggerakkan ekonomi secara mikro dan makro,” tambahnya lagi.

Dalam masa sama, mesyuarat pertama Pemuda PH Wilayah Persekutuan kelmarin telah sebulat suara bersetuju dengan jawatankuasa utama seperti berikut:

Ketua Pemuda: Asmaaliff Abdul Adam (AMANAH)
Timbalan Ketua Pemuda: YB P. Prabakaran (AMK)
Timbalan Ketua Pemuda: Lee Bing Hong (DAPSY)
Setiausaha: Iza Suraiya (DAPSY)
Bendahari: Mundzir Zahir (AMK)
Ketua Penerangan: Yu Ong Ching (DAPSY)
Ketua Manifesto: Ammar Shahbana (AMK)
Ketua Pilihanraya: Budihardi Sabie (AMANAH)

“Semoga dengan penubuhan Pemuda Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan ini dapat menjadi medan lebih ampuh dalam memperjuangkan nasib anak muda di ibu kota ini,” kata Pemuda PH Wilayah Persekutuan itu lagi.

Selain Asmaaliff, kenyataan bersama itu juga melibatkan Ketua AMK Wilayah Persekutuan, P. Prabakaran yang juga Ahli Parlimen Batu dan Ketua DAPSY Wilayah Persekutuan, Lee Bing Hong.