Pemuda PKR cabar Pas letak jawatan di Selangor jika ‘anak jantan’

Pemuda PKR cabar Pas letak jawatan di Selangor jika ‘anak jantan’

Pas dicabar meletakkan jawatan dalam kerajaan negeri Selangor jika mereka ‘anak jantan’ ekoran parti itu menamatkan kerjasama politik dengan PKR.

Perwakilan Johor di kongres Pemuda PKR ke-12 hari ini berkata demikian dengan merujuk keputusan parti itu baru-baru ini mengarahkan semua lantikan politik PKR dalam kerajaan negeri Kelantan melepaskan jawatan mereka.

“PKR sudah mulakan (arahkan ahli parti di Kelantan letak jawatan) dan mereka harus berani letak jawatan sekarang sekiranya mereka sebagai anak jantan,” kata pembahas Naim Jusri ketika membahaskan ucapan dasar ketua pemuda PKR.

Dalam sidang media semalam, Pas menetapkan pendirian untuk mengekalkan tiga Exco di Selangor sehingga Menteri Besar membuat cadangan dan diperkenan Sultan Selangor.

Timbalan presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man yang memangku jawatan presiden berkata, pengekalan tiga exco Pas di negeri itu sejajar dengan peruntukan undang-undang tubuh negeri Selangor.

“Mereka dilantik oleh ke bawah Duli Sultan Selangor dan kita akan tunggu perkembangan berikutnya.

“Kita rasa dengan mengekalkan tiga exco, pentadbiran negeri boleh berjalan lancar kita tidak mahu mengganggu sehingga keputusan baru dibuat,” ujarnya.

Tiga Exco Pas yang menganggotai majlis mesyuarat kerajaan negeri ialah Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib.

COMMENTS

Wordpress (0)