Pemuda tekad kekalkan Mohamad Sabu, Salahuddin dalam AMANAH Nasional

Pemuda tekad kekalkan Mohamad Sabu, Salahuddin dalam AMANAH Nasional

Kepimpinan Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Nasional yang baharu memutuskan akan mengekalkan Presiden, Mohamad Sabu dan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub untuk terus menerajui kepimpinan parti itu, pada Konvensyen AMANAH Nasional, lusa.

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, keputusan itu merupakan persetujuan bersama antara Pemuda AMANAH sebelum pemilihan lantikan ketua dibuat.

Hasnul Zulkarnain

“Berkaitan dengan mengekalkan presiden dan timbalan, kami berpendapat dari awal lagi sebelum pemilihan pemuda ini.

“Saya bersama dengan pasukan kawan-kawan saya dan saya percaya daripada pasukan Bangkit dan juga Wibawa akan mengekalkan jawatan presiden dan timbalan presiden untuk sesi yang akan datang ini.

“InshaaAllah, akujanji ini akan dijelmakan dan akan diterjemahkan pada hari pemilihan Sabtu (7 Disember) ini,” katanya kepada pemberita selepas ucapan sulungnya di Dewan Komuniti Batu Muda, hari ini.

Jelasnya, dengan mengekalkan Mohamad dan Salahuddin menduduki kepimpinan AMANAH Nasional, ia sekaligus menonjolkan kekuatan dan imej parti di peringkat tertinggi.

Terdahulu, Hasnul hari ini dilantik bagi menerajui saf kepimpinan sayap Pemuda AMANAH Nasional bagi sesi 2019-2022 menggantikan pimpinan Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer, Sany Hamzan.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional sesi lalu, Shazni Munir Mohd Ithnin yang
memperoleh 195 undi dipilih sebagai Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional bagi penggal 2019-2022.