Malaysia Dateline

Pemuda tuntut Pas tanding paling kurang 50 kerusi Parlimen

Usul menuntut Pas meletakkan calon sekurang-kurangnya di 50 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diluluskan sayap pemuda parti tersebut hari ini.

Perwakilan Muktamar Pemuda Pas kali ke-61 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), Kota Bharu berbahas sebelum bersetuju dengan usul yang dikemukakan oleh Pemuda Pas kawasan Bagai Serai.

“Mengesyorkan untuk memastikan Pas mendapat minima 50 kerusi (Parlimen) berpotensi dan memposisikan 20 peratus kerusi daripada jumlah kerusi ini adalah daripada calon anak muda,” kata usul yang diterima untuk dibahas itu.

Beberapa perwakilan kemudiannya bangun berhujah menyokong supaya usul berkenaan diterima.

Dalam masa sama terdapat perwakilan yang mencadangkan usul tersebut dibaiki antaranya dengan meningkatkan lagi sasaran kepada 70 kerusi Parlimen.

Selain itu, ada juga cadangan supaya usul tersebut tidak menyatakan jumlah sasaran tertentu sebaliknya dikekalkan 20 peratus kerusi untuk calon anak muda.

Walau bagaimanapun, undian akhirnya menetapkan usul asal diterima dan diluluskan untuk dibawa ke Muktamar Pusat Pas.

Terdahulu, Pengerusi Usul, Nazir Helmi, ketika membacakan latar belakang usul tersebut memberitahu kedudukan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) diambil kira dalam agenda perpaduan ummah.

Menurutnya, tiada parti yang boleh memerintah bersendiri melihatkan situasi politik negara sama ada kerajaan pusat mahupun beberapa kerajaan negeri.

“Situasi ini telah berlaku kepada Pakatan Harapan (PH) yang mana apabila Bersatu keluar daripada PH maka kerajaan pusat tumbang.

“Ia juga berlaku kepada beberapa negeri akhirnya bertukar kepada kerajaan parti komponen PN,” kata Nazir lagi.