Pemuda Umno dakwa tiga individu berkomplot jatuhkan Najib dan kerajaan

Pergerakan Pemuda Umno hari ini membuat laporan polis mendakwa seorang pegawai tertinggi kerajaan dan dua bekas pegawai tertinggi kerajaan terlibat dalam konspirasi untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Malaysia.

Laporan polis berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 1 tengah hari tadi oleh Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun.

Dalam laporan itu, Khairul Azwan menyatakan nama tiga individu tersebut sama ada secara berseorangan atau bersama terlibat dalam satu konspirasi untuk menggulingkan Najib sebagai perdana menteri dan kerajaan Malaysia yang sah.

Individu yang dinamakan itu adalah Tan Sri Abu Kassim Mohamed (bekas ketua pesuruhjaya SPRM0; Tan Sri Zeri Akhtar Aziz (bekas gabenor bank negara0; dan Tan Sri Abdul Ghani Patail (bekas peguam negara).

Katanya, beliau mempunyai sebab-sebab untuk mempercayai individu-individu tersebut telah memberi maklumat sulit dan dokumen kepada agensi-agensi di Amerika Syarikat termasuk pihak FBI (Biro Siasatan Persekutuan).

“Maklumat-maklumat dan dokumen-dokumen ini telah diberikan kepada pihak asing tanpa kelulusan yang sah oleh pihak berkuasa Malaysia yang berkenaan termasuk Jabatan Peguam Negara dan sebahagian besar daripada maklumat tersebut adalah direka, dipalsukan serta diputar belit untuk mencapai tujuan-tujuan jahat,” katanya.

Khairul Azwan berkata perkara yang beliau laporkan bukanlah dakwaan semata-mata tanpa asas dan beliau meminta pihak polis untuk menyiasat perkara itu dengan segera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah mengesahkan menerima laporan itu.

COMMENTS

Wordpress (0)