Pemuda Umno desak kerajaan negeri siasat dalang rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman

Pemuda Umno desak kerajaan negeri siasat dalang rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman
Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Foto: Berita Harian.

Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mahu kerajaan negeri Selangor melakukan siasatan di atas dalang disebalik rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Mariaman, awal pagi tadi.

Beliau dalam kenyataannya hari ini berkata, rusuhan yang berlaku tiada kaitan dengan isu perkauman sebaliknya ia adalah pertembungan antara pihak pemaju dan kuil.

“Isu Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights tiada kaitan perkauman tetapi pertembungan antara pihak Pemaju dan Kuil.

“Kerajaan Negeri harus ambil tanggungjawab benarkan tapak kuil Hindu dijual kepada pemaju. Siasat juga pemaju yang mengupah samseng. Jangan bakar api perkauman,” ujarnya dalam kenyataan di twitternya hari ini.

Suasana di sekitar kawasan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights berikutan kekecohan yang berlaku di kuil itu awal pagi tadi.- Foto Bernama.

Insiden kekecohan tersebut dikatakan berlaku berikutan perselisihan antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil Sri Maha Mariamman. Klip video kekecohan itu viral dalam media sosial sejak awal pagi ini.

Hari ini jalan ke kuil berkenaan ditutup manakala polis trafik membuat kawalan di jalan berkenaan bagi membantu melancarkan aliran trafik.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor dalam sidang media hari ini dipetik, berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian itu.

“Dalam kes ini, tidak ada unsur perkauman terbabit dan apa yang berlaku hanya perselisihan faham antara dua kumpulan saja. Kejadian ini adalah kes terpencil yang berkaitan dengan isu pemindahan kuil berkenaan.

“Orang ramai diminta menghentikan status atau mesej tular yang mengaitkan kejadian itu dengan isu perkauman. Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang cuba mencetuskan ketegangan kaum dan ketenteraman awam berhubung isu berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Subang Jaya, hari ini.

Pada 28 September lalu, satu notis pengosongan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengarahkan penghuni kuil itu mengosongkan tapak pada atau sebelum 15 Oktober lalu.

Bagaimanapun, pada 25 Oktober lalu, kira-kira 300 individu yang tidak bersetuju kuil itu dipindahkan bertindak berkumpul di kuil berkenaan ketika urusan pemindahan dijalankan.