Malaysia Dateline

Pemuda Umno desak Mujahid buktikan dakwah Zakir Naik hina, merendahkan agama lain

 

Sayed Amir Muzakkir

Menteri Agama di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa digesa agar memperbetulkan salah faham susulan kenyataan yang menjadi tular mengenai dakwah yang disampaikan oleh penceramah bebas Dr Zakir Naik (DZN) disifatkan sebagai menghina dan merendahkan agama lain di negara ini.

Exco Pemuda Umno Sayed Amir Muzakkir dalam kenyataan hari ini mendakwa beliau turut mendengar kenyataan menerusi video oleh Dr Mujahid yang memperkatakan tentang dakwah yang disampaikan oleh Dr Zakir tidak sesuai di Malaysia dan seolah-olah menghina agama lain.

“Terlebih dulu, Mujahid perlu datangkan bukti terhadap dakwaannya sebelum ini sebab jika tiada ia adalah *Satu Fitnah*.

“Setakat yang kita dengar ceramah atau kuliyyah yang disampaikan oleh DZN, tidak ada satu ayat pun yang pernah dikeluarkan oleh beliau mempertikaikan mengenai agama lain apatah lagi menghinanya.

“Banyak pengisian yang disampaikan dalam program ceramah beliau, DZN hanya memperbetulkan pandangan dan persepsi orang bukan Islam terhadap agama Islam.

“Bahkan, dalam ceramah DZN, bila ada bukan Islam yang hadir, beliau meraikan dan akan memberikan laluan kepada orang bukan Islam itu untuk bertanyakan soalan terlebih dahulu berbanding hadirin yang lain,” ujarnya.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Menteri Jabatan Perdana Menteri Datuk Mujahid Yusof Rawa pada Isnin yang dipetik berkata, kaedah dakwah yang menghina dan merendah-redahkan agama selain Islam adalah tidak sesuai di Malaysia.

Beliau memberi contoh penceramah kontroversi, Dr Zakir yang kerap menghina agama selain Islam.

“Kalau tanya saya, saya kira cara pemyampaian dakwah Zakir adalah tidak sesuai di Malaysia. Kita tidak perlukan kaedah perdebatan yang mencaci agama orang lain,” ujar Mujahid.

Tambah Sayed Amir lagi, pemuda Umno menyedari sesetengah perkara yang bersangkutan dengan agama, memang memerlukan ruang perdebatan, bagi memberi penilaian yang kemudiannya disusuli dengan hujah.

Islam katanya, berdiri di atas hujah dan dalil yg sohih, bukannya berpaksi kepada satu dakwaan kosong. Inilah Islam.

“Apa yang disampaikan oleh DZN adalah sebahagian daripada proses penjelasan dan perdebatan yang baik dan bersandarkan Al-quran dan As-sunnah.

“Kaedah perdebatan seperti ini yang menyentuh berkenaan topik perbandingan agama, telah diadakan di kebanyakan univerisiti termasuk di Univerisiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sendiri. Ini satu perbincangan secara ilmiah dan bukan menghina fahaman dan agama lain,” terangnya.

Justeru beliau mendesak Dr Muhahid perbetulkan dakwaannya itu, dakwanya, ia boleh menimbulkan polimik dan kekeliruan kepada bukan Islam dan terhadap agam Islam.

“Kita juga amat bimbang ia akan menimbulkan gambaran yang buruk dan fitnah kepada Islam. Perhalusilah setiap kenyataan dan janganlah membuat sesuatu kenyataan yang merugikan Islam dan mana-mana agama di negara kita ini.

“Sayangilah kedamaian yang kita kecapi lebih 60 tahun ini dan semoga ianya kekal selamanya…inshaaAllah,” ujarnya.