Malaysia Dateline

Pemuda Umno ‘gelabah’ selepas Armada umum mahu kembali bersama PH

Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki disindir sebagai ‘gelabah’ selepas Pemuda Bersatu (Armada) Pusat mengumumkan mahu kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Oleh itu, Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Abbas Azmi berkata, Istilah bahawa Armada tidak mempertahankan mandat rakyat adalah kenyataan yang tidak relevan dan sukar diterima.

“Kenyataan Ketua Pemuda Umno ini dilihat tidak mencerminkan jiwa kepimpinan yang sayangkan negara dan lebih kepada perasaan ‘gelabah’ diatas apa yang diputuskan oleh Armada itu yang boleh menggoncangkan lagi kekuatan Kerajaan PN yang semakin lemah,” kata Abbas dalam satu kenyataannya.

Abbas turut berkata, Asyraf mungkin terlupa bahawa Umno yang sebenarnya telah ditolak rakyat, manakala Bersatu sebelum ini telah pun menjadi kerajaan bersama PH dengan mandat yang sah dari rakyat.

“(Sementara) pembentukan PN hanyalah dari hasil suntikan perkauman dan agama sempit. Maka langkah menumbangkan kerajaan PH dilakukan sekaligus kerajaan ini yang menidakkan mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

“Langkah Sheraton telah mengumpulkan sokongan ahli Parlimen yang terlupa mereka dipilih oleh rakyat. (Tetapi) mereka pula memberi mandat kepada pembentukan kerajaan tanpa pilihanraya.

“Mahu membela rakyat tapi membentuk kerajaan tanpa mandat mereka? Umno juga terlibat secara lansung dengan pembentukan kerajaan ini sekaligus memperlihatkan kerakusan mereka mahu berkuasa sehingga tidak mempedulikan peranan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Asyraf “mengalu-alukan” cadangan Pemuda Bersatu (Armada) yang mahu memutuskan kerjasama dengan mereka jika bersungguh-sungguh mahu kembali bersama Pakatan Harapan (PH).

Namun, beliau mendakwa, jika mereka berbuat demikian, rakyat akan menghukum mereka kerana mempermainkan mandat rakyat dengan sewenang-wenangnya ketika orang ramai gelisah menghadapi Covid-19.

Dalam pada itu, Abbas berkata, sewajarnya Asyraf mengucapkan syabas kepada pimpinan Armada yang faham dan sayangkan sistem pemerintahan negara yang diamalkan sekian lama.

Malah katanya, adalah lebih baik Asyraf memfokuskan untuk membuat tawaran segera kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyertai Umno dengan mengambil kira faktor percaturan politik untuk menstabilkan parti itu.

Tambahnya, jika ia menjadi realiti, pembentukan PN malah tidak lagi diperlukan.

“Hanya dengan koalisi Muafakat Nasional antara BN dan Pas, sudah cukup untuk memerintah Malaysia. Keadaannya tetap sama, kerajaan tanpa mandat rakyat,” ujarnya.