Malaysia Dateline

Pemuda Umno lapor polis terhadap dakwaan Mahiaddin ada campur tangan kes mahkamah

Umno bahagian di seluruh Malaysia telah membuat satu laporan polis terhadap dakwaan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin kononnya terdapat desakan-desakan untuk campurtangan kes-kes mahkamah yang sedang berlangsung.

Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan dakwaan yang dilakukan oleh Mahiaddin ini adalah amat serius kerana ia melibatkan campurtangan cabang Eksekutif dan cabang Kehakiman yang bertanggungjawab terhadap sistem keadilan negara.

“Perdana Menteri seolah-olah mewujudkan persepsi bahawa sistem kehakiman negara selama ini boleh dijual beli, sekaligus merosakkan imej serta integriti mahkamah sebagai institusi yang mendaulatkan keadilan.

N”amun, kita memahami laras bahasa Perdana Menteri yang cuba membentuk persepsi tidak baik terhadap kepimpinan parti Umno, khususnya presiden dan mantan presiden bagi mengalihkan perhatian rakyat terhadap sebuah kerajaan yang telah gagal memperjuangkan kebajikan rakyat dan menangani pandemik,” kata beliau.

Sedangkan, katanya, kedua-dua Presiden Parti Umno dan mantan Presiden Umno sendiri telah memaklumkan berkali-kali mahu berjuang di mahkamah bagi membersihkan nama mereka atas segala pertuduhan yang dihadapi dan tidak akan sesekali mengheret parti.

“Sedih melihat seorang Perdana Menteri yang sanggup bertindak sedemikian rupa demi memastikan dirinya terus kekal berkuasa.

“Kami Pemuda Umno mendesak agar pihak polis dapat segera menyiasat dakwaan yang boleh dianggap satu bentuk fitnah yang mempunyai niat jahat untuk menghina dan mempersendakan seteru politiknya.

Di dalam pengumumkan khas kelmarin Mahiaddin telah menyatakan …”ini termasuklah desakan supaya saya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.”