Pemuda Umno mahu kerajaan ‘ajar’ Tun Mahathir

Pemuda Umno mahu kerajaan ‘ajar’ Tun Mahathir

Ekoran turun berkempen bersama pembangkang menyerang Perdana Menteri Datuk Seri Najib pada pilihan raya kecil (PRK) berkembar minggu lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad kini menjadi sasaran utama Umno.

Terbaru, Pergerakan Pemuda Umno mendesak semua bantuan kerajaan kepada bekas perdana menteri itu serta Yayasan Kepimpinan Perdana dihentikan serta-merta kerana mendakwa tindakan Dr Mahathir itu bertentangan dengan perlembagaan dan sistem demokrasi negara.

“Oleh itu Pemuda mendesak kerajaan untuk segera menghentikan segala bantuan termasuk kewangan dan harta tetap yang diberi kepada Yayasan Kepimpinan Perdana sejak dari penubuhannya termasuk bantuan penggajian kakitangan sedia ada.

“Pemuda juga memandang serius akan tindakan Tun M yang memperalatkan Yayasan Kepimpinan Perdana sebagai salah satu platform untuk menjatuhkan kerajaan dan Najib,” kata naib ketuanya Khairul Azwan Harun semalam.

Beliau juga berkata satu surat desakan akan dihantar kepada Najib pada kadar segera bagi menyatakan pendirian mereka supaya ianya dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno akan datang.

Sementara itu, ketika turun pada PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar minggu lalu, Dr Mahathir menyertai pasukan pembangkang dengan menyeru rakyat menolak calon BN sebagai bantahan kepada kepimpinan Najib.

Malah, medan PRK itu juga digunakan Dr Mahathir untuk menarik sokongan rakyat menandatangan Deklarasi Rakyat bagi mendesak Najib meletak jawatan sebagai perdana menteri.

COMMENTS

Wordpress (0)