Malaysia Dateline

Pemuda Umno mahu kerajaan gubal akta khusus hina Jalur Gemilang

Pemuda Umno Kuala Kangsar meluahkan rasa kecewa dan kesal berhubung kesilapan Malaysian Basketball Association (MABA) yang memaparkan bendera kebangsaaan Jalur Gemilang dengan lima bintang ketika perasmian Kejohanan Bola Keranjang, Isnin lalu.

Ketuanya, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata, kerajaan sudah seharusnya memandang serius perkara tersebut dengan menggubal akta khusus terhadap kesalahan menghina Jalur Gemilang sebagaimana Lagu Negaraku yang termaktub di bawah Akta Lagu Kebangsaan 1968.

Jelasnya, insiden yang bukan kali pertama itu berlaku dilihat sebagai suatu bentuk penghinaan kepada Jalur Gemilang itu sendiri.

“Ini bukanlah kali pertama Jalur Gemilang dihina. Sudah banyak insiden penghinaan terhadap Jalur Gemilang berlaku.

“Tidak terfikir dek akal bagaimana pihak penganjur tidak peka dengan kesilapan tersebut. Sejak bila bintang di dalam Jalur Gemilang berbucu lima?

“Adakah pihak penganjur tidak menyemak terlebih dahulu? Atau memang penganjur tidak ambil tahu?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Exco Pemuda Umno Malaysia itu turut mempersoalkan permohonan maaf pihak MABA tersebut yang dilihat tidak memadai untuk menutup kesilapan mereka yang disifatkannya perlu tindakan segera dari kerajaan untuk menanganinya.

“Benarlah pihak penganjur telah memohon maaf sambil menyifatkan perkara itu tidak disengajakan, tetapi adakah hanya meminta maaf mencukupi? Tindakan tegas wajar diambil. Kerajaan tidak boleh berdiam diri.

” Jika kesilapan ini dilakukan oleh pihak dari negara luar, mungkin kita boleh memahami, tetapi dilakukan oleh rakyat di negara ini sendiri, apa yang tidak kena

“Bertindak segera. Sampai bila kita mahu kompromi dengan insiden penghinaan terhadap Jalur Gemilang?,” ujarnya.