Malaysia Dateline

Pemuda Umno P.Pinang ke SPRM hantar memorandum desak Guan Eng letak jawatan

Pemuda Umno Pulau Pinang hari ini menyerahkan memorandum kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad bagi meminta Ketua Menteri Lim Guan Eng meletakkan jawatan berikutan kes rasuah yang dihadapinya.

Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Rafizal Abd Rahim berkata penyerahan memorandum itu berikutan Lim telah menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) hari ini yang secara tidak langsung mahu membuktikan beliau bersih daripada gejala rasuah.

“Apabila beliau menandatangani IBR, beliau secara tidak langsung mengesahkan beliau orang yang bersih dan tidak terpalit dengan salah laku dan rasuah, sedangkan beliau masih berhadapan dengan kes mahkamah berkaitan rasuah. Jadi kami minta ketua menteri letak jawatan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu, di George Town hari ini.

Terdahulu, Lim mengetuai majlis bacaan ikrar dan menandatangani IBR dan tambahan 10 langkah integritidi Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini dan disaksikan oleh Dzulkifli.

Rafizal berkata memorandum itu juga antara lain meminta SPRM membantu dan mempercepatkan proses tindakan terhadap kes rasuah membabitkan ketua menteri itu.

Pada 30 Jun tahun lepas, Lim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada pertanian kepada perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.