Malaysia Dateline

Pemuda Umno Pasir Gudang saran NACP dijadikan sebahagian input pindaan perlembagaan parti

Pemuda Umno Pasir Gudang hari ini menyarankan parti itu mengambil kira Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) yang dilancarkan kerajaan baru-baru ini, supaya dapat dijadikan sebahagian daripada input kepada proses pindaan Perlembagaan Umno.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Pasir Gudang Noor Azleen Ambros berkata memandangkan parti itu kini dalam proses mendapatkan maklum balas dan pandangan untuk meminda beberapa perkara dan fasal dalam perlembagaan parti, adalah wajar agar saranan yang terkandung dalam NACP juga diambil kira.

“Umno perlu berjiwa besar untuk menerima seterusnya meneliti setiap cadangan serta langkah-langkah penambahbaikan yang dikemukakan dalam pelan ini, khususnya yang melibatkan sektor politik.

“Adaptasi kepada pelan ini adalah peluang serta kesempatan terbaik dalam usaha Umno untuk mengubah tanggapan dan memperbetul persepsi umum terhadap nilai dan amalan parti selama ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noor Azleen berkata peluang itu juga sebenarnya wajar dimanfaatkan parti untuk seterusnya meyakinkan rakyat bahawa Umno kini dalam proses untuk berubah dan akan kembali tampil dengan wajah baru melalui penekanan kepada soal nilai, etika dan integriti sebagai naratif utama yang mendasari parti.

Jawatankuasa Perlembagaan dan Peraturan UMNO kini dipengerusikan oleh Naib Presiden Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang juga bekas Menteri Besar Johor.

Dua hari lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan NACP 2019 sehingga 2023, bagi memberi peringatan dan amaran kepada semua Pemimpin sekarang dan masa depan termasuk perdana menteri dan menteri.- BERNAMA