Malaysia Dateline

Muhyiddin Abdul Hadi

Pemuda Umno saran Muhyiddin bagi kerusi Bersatu pada Pas

Selepas ketara memperlihatkan Pas hebat dipinggirkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, rakan sekutunya mula menyuarakan pandangan agar parti itu diberikan satu atau dua kerusi untuk bertanding.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyokong cadangan Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo agar Bersatu mempertimbangkan kerusi untuk Pas pada Pilihanraya Sabah akhir bulan ini.

Menerusi Tweet Papagomo yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno itu, beliau berkata Bersatu wajar mempertimbangkan satu atau dua kerusi kepada Pas.

“PPBM mesti ikhlas kepada Pas sebagai rakan komponen parti Perikatan Nasional (PN). Tanpa Pas, PN tak dapat didaftarkan. Inilah masanya menghargai Pas,” tulisnya.

Ciapan itu kemudiannya disokong Asyraf dan berkata ada benarnya cadangan yang diutarakan Papagomo.

“Ada benarnya pandangan ini. Mohon Tan Sri Muhyiddin Yassin Presiden PPBM merangkap Pengerusi PN mempertimbangkan kerusi kepada Pas di PRN Sabah.

“Siapa Setuju?,” tanyanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Terdahulu, Pas menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan meluahkan hasrat mahu bertanding di 10 kerusi DUN Sabah.

Bagaimanapun pengumuman calon yang dibuat semalam memperlihatkan Pas seolah dipinggirkan apabila tiada satu kerusi pun yang akan ditandingi parti itu.