Malaysia Dateline

Berebut kerusi Parlimen, Pemuda Umno Seremban putus kerjasama dengan MCA

Pemuda Umno Bahagian Seremban mengumumkan tidak lagi bekerjasama dengan MCA Negeri Sembilan dan MCA Seremban berkuatkuasa serta-merta hari ini.

Ketuanya, Zool Amali Hussein dalam notisnya dipetik berkata, keputusan itu susulan provokasi berterusan MCA menerusi akhbar Cina tempatan.

“Umno Bahagian Seremban memandang serius isu yang dibangkitkan oleh MCA di dalam akhbar dan ini menunjukkan kami Pemuda tegas dengan pendirian dan prinsip kami untuk meletakkan calon di Parlimen Seremban,” jelasnya.

Mesyuarat Umno Bahagian Seremban baru-baru ini telah memutuskan untuk meletakkan calon bagi bertanding di kerusi Parlimen Seremban pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Kerusi P128 Seremban yang secara tradisinya ditandingi oleh MCA dengan komposisi 48 peratus pengundi Melayu dan 37 peratus Cina itu kini disandang Anthony Loke dari DAP.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Anthony menang di kerusi tersebut dengan majoriti 30,694 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA, Datuk Chong Sin Woon yang mendapat 24,809 undi serta calon Pas, Shariffuddin Ahmad memperoleh 11,506 undi.

Sejak tahun lalu, Pemuda Umno Bahagian Seremban mendesak supaya kerusi itu tidak lagi ditandingi oleh calon MCA selepas parti itu tewas kepada DAP di kerusi tersebut dalam tiga pilihan raya umum berturut-turut.