Pemuda Wibawa pastikan pengundi 18 tahun nikmati dasar kerajaan PH

Pemuda Wibawa pastikan pengundi 18 tahun nikmati dasar kerajaan PH

Mukadimah

Tiga pasukan akan berentap untuk menduduki barisan kepimpinan sayap anak muda AMANAH dalam pemilihan sempena Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional pada 26 dan 27 Oktober ini.

Salah satunya, pasukan Pemuda Wibawa yang diketuai Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, WAN ANWAR WAN IBRAHIM. Beliau juga merupakan Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Ikuti gagasan Timbalan Pengerusi Biro Undang-undang AMANAH (KANUN) Nasional ini berkenaan tawaran Pemuda Wibawa dalam mendekati pengundi berusia 18 tahun ekoran penurunan layak mengundi daripada 21 tahun.

Beliau yang juga Timbalan Ketua AMANAH Kawasan Selayang ketika diwawancara wartawan Malaysia Dateline, ARIF ATAN turut berkongsikan pandangan mengenai cabaran dalam menarik sokongan anak muda kepada AMANAH ketika era dunia gajet ini.

Pindaan menurunkan umur kepada 18 tahun turut merangkumi layak untuk menjadi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, serta mereka didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu diluluskan di Dewan Rakyat pada 17 Julai lalu, setelah memperoleh lebih dua pertiga persetujuan dengan sokongan 211 daripada 222 ahli Dewan Rakyat.

 

Apakah tawaran Pemuda Wibawa untuk menghadapi pengundi seawal usia 18 tahun?

Kita akan berusaha untuk memastikan dasar kerajaan melalui kementerian-kementerian yang berkenaan sampai dan dapat dinikmati oleh pengundi seawal usia 18 tahun.

Sebagai contoh, penyerapan ke dalam program Malaysia Future Leader di bawah Kementerian Belia Dan Sukan dan pemilihan sebagai mentee di bawah projek Agropreneur Muda kelolaan Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani.

Selain itu, Pemuda Wibawa juga akan berusaha memastikan mereka terlibat dalam program kemahiran seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Mereka juga akan digalakkan terlibat dalam Dasar Keusahawanan Nasional 2030 di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan melalui penglibatan koperasi sekolah.

 

Apakah persediaan Pemuda Wibawa dalam pelaksanaan daftar mengundi bermula dari umur 18 tahun?

Kita sedang dalam pertimbangan untuk melancarkan aplikasi khas #UNDI18. Aplikasi ini bertujuan untuk mengumpulkan data bakal pengundi yang berada dalam lingkungan umur 13 hingga 18 tahun.

Data ini akan menyasarkan dengan lebih terperinci tentang tahap umur, bangsa, agama, minat, kebolehan istimewa dan pencapaian.

Hal ini memudahkan perancangan program mengikut minat dan kecenderungan anak muda. Namun, keistimewaan atau privilage kepada pengguna aplikasi sangat penting.

Keistimewaan ini akan dikemaskini melalui usahasama dengan syarikat-syarikat yang dekat dengan hati dan jiwa pengundi 18 tahun.

Contoh syarikat yang boleh menjadi prospek utama kerjasama ini termasuklah Maxis sebagai operator talian telefon bimbit dan Sony yang sinonim dengan e-games melalui PS4.

Al-Ikhsan pula berkaitan barangan peralatan sukan manakala Rogue pula jenama telefon bimbit mesra remaja.

Selain itu, kami juga akan menggiatkan kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi urusan lesen bermotor memandangkan usia remaja memang tidak dapat lari dengan keperluan berkenderaan.

Wan Anwar Wan Ibrahim

Bagaimana Pemuda Wibawa mampu untuk menarik sokongan remaja dan anak muda kepada parti AMANAH ketika trend golongan itu semakin tidak terikat pada sentimen kepartian?

Terlebih dahulu, penentuan sikap kita harus betul dalam menanggapi persoalan ini. Tumpuan harus diberikan untuk memenuhi keperluan dan menyelesaikan masalah mereka.

Selepas itu barulah kita bercakap untuk mendekatkan mereka kepada perjuangan parti. Hal ini kerana kita percaya bahawa remaja atau anak muda ini akan cenderung kepada pihak yang sentiasa dekat dengan pemikiran dan kehidupan mereka.

Oleh yang demikian, kita sedang merangka satu pelan tindakan untuk mendekati golongan ini bagi merangkul mereka melalui satu inisiatif yang dinamakan sebagai ‘Team Sukarelawan Remaja Aktif’.

Pasukan ini akan melaksanakan program bersama sepanjang tahun yang terdiri daripada beberapa modul merangkumi projek kemasyarakatan, ikon sukan dan agama serta pendidikan kemahiran.

Hal ini bertujuan memastikan pengundi 18 tahun sentiasa ingin bersama secara berterusan sehingga pada akhirnya sayang kepada organisasi yang disertai dan sedia untuk ikhlas berjuang dalam parti.

 

Tidakkah penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun berisiko kepada PH sebagai parti pemerintah memandangkan anak muda cenderung tidak ‘setia’ kepada parti sebaliknya bersikap anti-establishment?

Risiko tetap ada tetapi kita harus berjiwa besar untuk berdepan dan menangani apa yang disifatkan sebagai fenomena global.

Ini juga adalah untuk kebaikan mereka kerana mereka akan dilibatkan dalam proses membuat keputusan dalam negara kita.

Dengan penggubalan dan pelaksanaan dasar dan polisi yang betul serta atas hujah pendidikan dan pendedahan, kita percaya akhirnya mereka akan bijak memilih.

Maka, kita perlu terus memandang ke hadapan untuk memastikan pengundi anak muda akan terus memihak kepada Pakatan Harapan (PH).

 

Tidakkah sikap BN yang turut menyokong polisi daftar mengundi bermula dari umur 18 tahun seperti memberi kelebihan kepada pembangkang?

Sudah tentu kerajaan mempunyai agendanya dan pembangkang juga mempunyai strategi mereka sendiri.

Pembangkang mungkin akan mendapat sedikit keuntungan tetapi kerajaan sepatutnya mempunyai banyak kelebihan dalam hal ini kerana mempunyai kuasa dan jentera untuk menggerakkan program yang bersifat mesra anak muda.

Namun, amatlah besar kerugiannya jika kedudukan sebagai kerajaan gagal dimanfaatkan untuk mendekati pengundi baru ini.

Oleh itu, peranan PH sebagai kerajaan mestilah dioptimumkan sebaik mungkin untuk memastikan segala dasar dan polisi yang akan digubal dan dilaksanakan selepas ini benar-benar sampai dan disambut serta disokong oleh anak muda.