Pemuda Amanah sedia jadi orang tengah babit isu perkauman di Perak

Pemuda Amanah sedia jadi orang tengah babit isu perkauman di Perak

Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional sedia menjadi orang tengah dan mengambil serius berkaitan isu perkauman yang boleh mencetuskan rasa kurang senang di kalangan rakyat yang berlaku di Perak baru-baru ini.

Exco Pemudanya Khairol Najib Hashim berkata, penangkapan suspek atas dakwaan menghina Islam menerusi akaun Facebook sebagai ‘Gunalan Muniandy’ wajar dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

Beliau berharap agar semua pihak dapat bertenang dan menyerahkan kes tersebut kepada pihak berkuasa untuk dijalankan siasatan dan perbalahan akibat daripada kes tersebut dapat dihentikan segera.

“Pemuda Amanah bersedia untuk menjadi orang tengah bagi mencari jalan penyelesaian sekiranya perkara-perkara yang melibatkan sensitiviti kaum atau agama menjadi punca pertelagahan sesama kita.

Menurutnya tindakan suspek jelas berniat jahat dengan bertujuan melaga-lagakan kaum Melayu dan India susulan kes vandalisme yang berlaku di kuil Sree Muneeswarar Amman Kovil, Ipoh yang dilaporkan dilakukan oleh seorang pemuda kurang siuman sebelum ini.

“Diharapkan juga pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat menyiasat perkara ini secepat mungkin bagi mendakwa mereka yang benar-benar didapati bersalah dan memberi penerangan kepada umum agar isu ini tidak lagi berlanjutan,” ujar AJK Amanah Tanjong Malim dalam satu kenyataan hari ini

Pemuda Amanah Nasional  ujarnya kesal dengan tindakan tersebut sekiranya suspek benar-benar melakukan perkara itu.

“Sekiranya suspek terbukti menyamar dan mengeluarkan kata-kata menghina Islam seperti yang tersebar sebelum ini, Pemuda Amanah berharap suspek dapat diambil tindakan sewajarnya kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja boleh mencetuskan perbalahan malah boleh menimbulkan persengketaan dan syak wasangka berpanjangan antara kaum.” ujarnya.

Semalam polis telah menahan suspek  dikenali sebagai  Abdul Rahman Abdullah, 38, dari Kampung Station, Kuala Kangsar dengan menggunakan nama ‘Gunalan Muniandy’ yang menjadi perdebatan di media sosial kerana mahu berdemonstrasi di Bukit Aman hari ini.

Suspek telah ditangkap di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

 

TAGS