Malaysia Dateline

Pemukiman Kerajaan Negeri Johor bersama kepimpinan Persekutuan perkukuh kerjasama

Satu Sesi Pemukiman Kerajaan Negeri Johor bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kabinet Persekutuan diadakan hari ini, bagi memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Johor, diskusi itu diadakan bertujuan membincangkan pelbagai topik melibatkan pentadbiran seperti membentuk ekonomi mampan, agenda pekerjaan dan juga pengangkutan.

Pemukiman yang berlangsung di Hotel Pulse Grande, Putrajaya itu turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.

Kenyataan itu menyebut, pemukiman yang dihadiri kepimpinan negeri dan Menteri di peringkat Persekutuan itu, antara lain berfungsi sebagai platform perkongsian idea dan bertukar pandangan bagi meneroka potensi pembangunan di negeri Johor.

Inisiatif ini juga, adalah sebahagian daripada langkah pengukuhan bagi memastikan agenda dan strategi yang dirangka kerajaan Johor dapat dilaksanakan dengan lancar.