Malaysia Dateline

Pemukiman pemimpin Singapura-Malaysia di Putrajaya bulan depan

Perdana Menteri Singapura  Lee Hsien Loong akan bertemu rakan sejawatannya  dari Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad di  Putrajaya pada minggu pertama April bagi Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia ke-9.

Dalam laporannya, The Straits Times yang memetik Kementerian Luar Singapura, antara lain menyatakan Malaysia mencadangkan agar pemukiman diadakan pada 8 dan 9 April yang dipersetujui oleh republik itu.

Pemukiman terbaharu ini sepatutnya diadakan pada November tahun lepas namun ditangguhkan.

Dr Mahathir berada di sini pada November lepas bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-33 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan yang dipengerusikan oleh Singapura, berlangsung selama lima hari bermula 11 Nov.

Pemukiman edisi kelapan diadakan di negara ini pada Januari 2018.

Pertemuan tahunan itu yang diadakan secara bergilir di antara kedua-dua negara merupakan mekanisme penting dalam memperkukuh hubungan dua hala serta mencari penyelesaian isu-isu bilateral.

Malaysia dan Singapura kini dalam proses menyelesaikan isu-isu antaranya berkaitan ruang udara dan persempadanan maritim.- BERNAMA