Malaysia Dateline

Pemulangan dana 1MDB hasil kerja keras Kerajaan PH

Pemulangan sejumlah besar dana 1MDB milik rakyat Malaysia seharusnya diberi penghargaan kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Jabatan Peguam Negara, demikian menurut Biro Undang-undang (Kanun) AMANAH.

Naib Pengerusi 3 Kanun Fadhli Umar Aminolhuda berkata, mantan Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas bersama kerajaan PH berusaha keras selama hampir 22 bulan bagi mendapatkan semula wang 1MDB.

“Ini harusnya diberi penghargaan pada mantan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan Kerajaan PH, walaupun ianya gagal diterjemahkan dalam kenyataan media Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Dalam satu kenyataan, beliau yang juga Pengerusi Kanun Johor berkata, pemulangan dana itu juga terbukti bahawa skandal 1MDB adalah kleptokrasi terbesar dalam sejarah dunia.

“Mereka yang kini berada dalam kerajaan kononnya skandal 1MDB hanyalah rekaan PH semata-mata dan mereka yang dahulunya berpuas hati haruslah menerima hakikat bahawa ia skandal kleptokrasi terbesar,” katanya.

Juteru, Kanun mendesak supaya dana rakyat ini dapat dibelanjakan oleh kerajaan dengan berhemah dan diberikan kepada rakyat lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang amat mencabar ini.

Kerajaan Amerika Syarikat telah memulangkan semula sebanyak AS$300 juta daripada dana 1MDB bersamaan dengan lebih kurang RM1.3 billion.

Sehingga hari ini, dana 1MDB yang telah dikembalikan adalah lebih kurang RM2.6 billion atau US$620 juta.