Malaysia Dateline

Pemulih: Kerajaan berhentilah ‘cirit’ rakyat kian terhimpit

Ingat lagi, pada 1 Julai 2020, rakyat Malaysia telah pun meraikan sifar kes baharu harian.

Namun, kita tertanya-tanya apakah salah kita apabila hari ini mencatatkan 6,988 kes baharu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 758,967 kes aktif sedangkan kita kekal di rumah.

Pelanjutan tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) telah membuat ramai rakyat Malaysia hidup dalam kesempitan akibat hilang pekerjaan atau tidak dapat menjalankan perniagaan.

Walaupun selepas Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin mengumumkan Pakej Pelindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) berjumlah RM150 bilion, rakyat di seluruh negara meneruskan kempen Angkat #BenderaPutih bagi membantu sesama rakyat yang melarat agar tidak membuat keputusan mendadak seperti bunuh diri dan sebagainya.

Dilaporkan sejak Januari hingga Mei 2021, terdapat 468 kes bunuh diri yang mencatatkan tiga punca utama mereka nekad melakukan hal itu adalah kerana masalah keluarga, tekanan perasaan dan masalah kewangan.

Aneh sekali jika Kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih tidak merasa malu akan kegagalan mereka walaupun selepas Pemulih diumumkan, rakyat nekad membantu sesama rakyat dengan kempen #BenderaPutih yang kini digerakkan secara besar-besaran di seluruh negara.

Pakej Pemulih dengan suntikan fiskal langsung daripada kerajaan bernilai hanya RM10 bilion seolah-olah menunjukkan kerajaan masih santai dan tidak merasa cemas dengan keadaan rakyat dan ekonomi negara yang semakin kesempitan.

Pengeluaran KWSP ataupun Program I-Citra di bawah Pemulih ini bukanlah bantuan daripada kerajaan, sebaliknya akan membuat kehidupan rakyat di masa tua lebih terjejas.

Kerajaan tidak patut mengatakan itu satu bantuan daripada kerajaan sedangkan ia adalah jalan singkat untuk rakyat yang terdesak untuk mengeluarkan wang simpanan tua mereka bagi meneruskan kehidupan.

Selain itu, Pemulih juga merangkumi moratorium bayaran balik pinjaman bank selama enam bulan yang mengelirukan kerana sepertinya lebih menguntungkan pihak bank daripada rakyat yang sedia tersepit.

Kekeliruan ini timbul apabila Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberitahu bahawa moratorium kepada individu atau perniagaan ini bukanlah sifar kadar faedah sepanjang penangguhan.

Ahli Parlimen Bagan yang juga merupakan mantan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyifatkan moratorium dengan faedah ini adalah “bantuan kewangan kosmetik” yang hanya akan memberi keuntungan pada pihak bank, tetapi tidak dapat menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan rakyat.

Ahli Jawatankuasa Kos Sara Hidup Pakatan Harapan (PH) juga hari ini menyokong pemberian moratorium ini namun ia wajar diberikan secara automatik kepada semua golongan dan tanpa faedah secara jelas.

Begitu pula halnya dengan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang perlu disegerakan pemberiannya dan bukan mengambil masa sebulan lebih untuk diproses serta disalurkan seperti bantuan-bantuan kewangan lain sebelum ini oleh PN.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok turut menggesa Kerajaan PN untuk melihat situasi sekarang sebagai tempoh kecemasan yang memerlukan mereka menyalurkan segera bantuan kewangan BPR tersebut kepada rakyat, terutama yang kritikal.

Menurutnya, ramai penduduk di kawasan mula menghubungi pejabat Parlimen Seputeh dan beberapa pejabat Parlimen lain untuk mendaftar bagi mendapatkan bantuan BPR ini, namun pihak mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana pendaftaran masih belum dibuka.

Atas segala kelewatan, kekeliruan dan ketidakcekapan yang datang daripada pentadbiran Kerajaan PN ini, nyawa dan kehidupan rakyat hanya dapat dibantu sesama rakyat menerusi kempen besar-besaran Angkat #BenderaPutih serta usaha sehabis baik daripada wakil-wakil rakyat dengan peruntukan tidak seberapa.

Mereka yang berkemampuan dan aktivis yang aktif menggerakkan kempen tersebut jelas menunjukkan sikap tidak mahu menunggu-nunggu lagi kerana semakin hari, semakin banyak bendera putih naik dan ini menunjukkan ramai sebenarnya rakyat tersepit dalam situasi kini.

Sampai bila Kerajaan PN nak berlengah-lengah dan menambah kekeliruan rakyat dengan segala hal yang tidak jelas?