Malaysia Dateline

Pemulihan bekalan air secara berperingkat hari ini

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd menyasarkan pemulihan bekalan air secara berperingkat susulan insiden pencemaran minyak diesel di sumber air mentah Sungai Selangor, bermula 6 pagi hari ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasinya, Abdul Raof Ahmad berkata, proses bagi meningkatkan paras kolam dan menstabilkan tekanan di sistem-sistem utama sedang dilakukan.

Dalam kenyataan, beliau berkata, berdasarkan pemantauan sehingga 6 petang tadi, 16 peratus akaun pelanggan berdaftar yang menerima bekalan air secara terus telah pulih.

Pencemaran itu menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (LRA SSP1, SSP2 dan SSP3) serta LRA Rantau Panjang semalam, sebelum keempat-empat loji itu kembali beroperasi pada 3.30 pagi tadi.

Situasi itu menjejaskan 1,222 kawasan dan 1,191,942 akaun pengguna di tujuh wilayah iaitu Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Abdul Raof berkata, sasaran pemulihan keseluruhan kawasan terjejas di Hulu Selangor dan Kuala Selangor ialah pada 6 petang hari Rabu (24 Julai); Gombak (6 petang hari Khamis ( 25 Julai)); Klang/Shah Alam dan Kuala Lumpur (6 petang hari Jumaat [26 Julai]); dan Petaling dan Kuala Langat (9 pagi hari Sabtu [27 Julai]).

Katanya, 97 lori tangki air termasuk bantuan daripada agensi dan operator air luar serta 34 lori tangki jumbo digerakkan bagi penghantaran bekalan kepada pelanggan.

Selain itu, 16 Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang beroperasi 24 jam serta 17 lokasi pili awam bagi menyalurkan bantuan kepada pelanggan terjejas diaktifkan.

Henti tugas keempat-empat LRA berkenaan semalam merupakan yang kedua dalam tempoh kurang daripada seminggu, dengan penutupan pertama dilakukan pada Jumaat lalu, susulan pencemaran bau.

LRA berkenaan membekalkan 60 peratus air terawat kepada pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur. – Bernama