Malaysia Dateline

Pemulihan ekonomi pasca Covid-19 memakan masa, akui ahli akademik

Dr Mohd Yusof Saari

Pandemik Covid-19 dianggap seperti tsunami kerana telah menyebabkan hampir keseluruhan sektor ekonomi lumpuh selama sebulan setengah, kata Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari.

Pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, amalan perniagaan tidak lagi sama seperti sebelum ini memandangkan ekonomi beroperasi dalam konteks normal baharu.

“Pemulihan perniagaan sesebuah syarikat tidak sama dengan pemulihan ekonomi sebuah negara. Pemulihan ekonomi negara memakan masa tempoh yang lama bergantung kepada bentuk krisis.

“Contohnya, krisis kewangan 1997/98 mengambil masa sekitar dua hingga tiga tahun untuk dipulihkan.

“Tsunami Covid-19 dijangka memerlukan masa yang lebih lama untuk dipulihkan kerana ianya ‘memukul’ keseluruhan sektor-sektor ekonomi Malaysia dan juga keseluruhan ekonomi dunia.

“Struktur ekonomi perlu dibangunkan dan diperbetulkan dan semuanya ini tidak boleh dilakukan dalam tempoh masa sehari, sebulan atau setahun,” dipetik dari tulisannya di Berita Harian hari ini.

Selain itu, jelasnya, tsunami Covid-19 juga mempengaruhi perancangan ekonomi dalam tempoh RMK-19 apabila wujudnya perubahan landskap ekonomi global, perubahan struktur pasaran buruh serta gangguan sektor-sektor utama.

“Jika SARS mengambil masa sekitar tujuh bulan untuk sektor pelancongan dipulihkan, Covid-19 dijangka akan pulih sepenuhnya di awal 2022 bergantung juga kepada keyakinan pelancong.

“Perlu diingatkan juga bahawa sektor pelancongan juga adalah salah satu penyumbang utama kepada pertumbuhan sektor pertanian, pembuatan makanan dan minuman dan perhidmatan penyediaan makanan dan minuman,” kata Dr Yusof .

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kemungkinan matlamat dasar Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 juga akan tersasar jika langkah-langkah pemulihan ekonomi tidak dibuat secara tepat.

Hal ini memandangkan, jelasnya, pelan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dirancang ketika pandemik Covid-19 belum melanda Malaysia dan kebanyakan negara di dunia.

Dalam tempoh 2021-2030, matlamat dan sasaran WKB akan disokong oleh dua pelan perancangan jangka masa sederhana iaitu RMK-12 (2021-2025) dan ke-13 (2026-2030).

“Analoginya mudah, kesakitan akibat pening kepala boleh dipulihkan dengan memakan paracetamol dan bukannya disapu dengan minyak gamat,” tambahnya lagi.