Penagih bukan penjenayah: Presiden polisi dadah global sifatkan Dr Dzul berani, lojik
Presiden Suruhanjaya Polisi Dadah Global, Ruth Dreifuss sifatkan Dr Dzulkefly sebagai berani dan lojik.

Penagih bukan penjenayah: Presiden polisi dadah global sifatkan Dr Dzul berani, lojik

Presiden Suruhanjaya Polisi Dadah Global menyambut baik langkah Kementerian Kesihatan untuk memperkenalkan dasar nyah jenayah dadah – suatu polisi menangani masalah penyalahgunaan dadah dengan melayan penagih bukan sebagai penjenayah tetapi pesakit yang perlu dirawat oleh profesional perubatan.

Bagi pengerusinya Ruth Dreifuss, yang juga bekas presiden Switzerland, langkah yang diambil Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad adalah suatu yang berani dan lojik, lapor Malaysiakini.

“Bagi saya menteri kesihatan anda sangat berani untuk memperkenalkannya (nyah jenayah penagih dadah) di Malaysia.

“Malah ia bukan hanya (langkah) berani tetapi logik untuknya menyatakan tiada yang dapat menghalang beliau melaksanakan tanggungjawab beliau bagi sebarang tindakan yang diambilnya,” katanya ketika wawancara bersama Malaysiakini di Kuala Lumpur, pada Jumaat lalu.

Ruth Dreifuss – Gambar Malaysiakini.

Dreifuss juga berkata usaha Dr Dzulkefly itu meningkatkan wibawanya sebagai doktor dan menteri kesihatan.

“Tugas saya (doktor) adalah merawat orang dan memberikan mereka perkhidmatan kesihatan. Jika saya tidak boleh berbuat demikian bermakna saya tidak boleh melaksanakan tugas saya,” kata Dreifuss sebagaimana dilaporkan Malaysiakini.

Polisi melayan penagih bukan sebagai penjenayah tetapi pesakit yang perlu dirawat oleh profesional perubatan menumpukan kepada pengurangan mudarat terhadap diri penagih, masyarakat dan negara.

Dasar ini, kata Dr Dzulkefly akan dapat menangani masalah penyalahgunaan dadah berdasarkan aspek kesihatan dan bukti saintifik serta tidak bermaksud menghalalkan penagihan dan kesalahan pengedaran dadah.

“Dekriminalisasi adalah penghapusan hukuman jenayah kerana memiliki dan menggunakan dadah dengan kuantiti kecil untuk kegunaan peribadi…Pengedaran dadah pastinya kekal sebagai kesalahan jenayah,” katanya.