
Penahanan 17 pengawal keselamatan tiada kaitan dengan PPKKM
Penahanan seramai 17 pengawal keselamatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan penyelewengan dana Pilihan Raya Umum ke-14 berjumlah RM3.5juta, tidak melibatkan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM).
Presiden PPKKM Datuk Mustapa Ali, (dua dari kanan) berkata, 17 pengawal keselamatan itu juga bukan di bawah mana-mana persatuan dalam gabungan itu.
“Ingin saya jelaskan di sini, perkara ini terjadi di Jabatan Perdana Menteri di mana kami tidak mempunyai akses untuk membekalkan pengawal keselamatan di sana,” ujarnya dalam sidang media diadakan hari ini yang turut dihadiri beberapa ahli gabungan dalam persatuan itu.
Menurutnya lagi kerjaya sebagai pengawal keselamatan sering kali ditampilkan dengan imej yang burukdalam industri drama dan filem tempatan, sedangkan ujarnya, imej pengawal keselamatan yang sebenar amat bertentangan.
“Kebanyakan pengawal keselamatan yang dibekalkan, pengetahuan dan kemahiran melalui Program Latihan Certified Security Guards (CSG) dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Tambah beliau, diharapkan agar orang ramai menghormati profesion pengawal keselamatan dan tidak lagi menggunakan panggilan ‘pak guard’ ataupun ‘jaga’.