Malaysia Dateline

Penamaan calon DUN Slim hari ini

Proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim sedang berlangsung di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim hari ini.

PRK DUN Slim adalah Pilihanraya kedua dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa 18 Mac lalu susulan pandemik Covid-19.

Di luar dewan penamaan calon, tiada penyokong daripada parti-parti yang bertanding

Kehangatan PRK kali ini agak berlainan berbanding PRK sebelum ini dengan ketiadaan langsung para penyokong mana-mana pihak baik Barisan Nasional (BN) mahupun calon bebas mewakili parti Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sejauh 2.6 kilometer sebelum sampai ke dewan penamaan calon juga, pihak polis sudah berjaga dan menjalankan sekatan mungkin bagi mengawal keadaan untuk mengelakkan kesesakan dengan para penyokong yang dijangka akan hadir nanti.

Untuk rekod, PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu.

Setakat ini hanya dua calon diumumkan untuk bertanding bagi kerusi DUN tersebut iaitu masing-masing daripada BN dan Bebas.

BN mengemukakan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz manakala seorang lagi, peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, diumumkan sebagai calon yang mewakili kem bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan bertanding atas tiket Bebas.

Bagaimanapun, dimaklumkan terdapat seorang lagi calon bebas yang akan bertanding.