Malaysia Dateline

Penamaan calon PRK Batu Sapi 23 November ini

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia menetapkan 23 November ini sebagai hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Sabah susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, SPR telah menetapkan bahawa PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan.

SPR telah menetapkan hari mengundi awal pada 1 Disember manakala hari membuang undi pada 5 Disember depan.

“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding sehingga pukul 11.59 malam, 4 Disember 2020 (Jumaat).

“Bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, tarikh buka pada 13 Oktober,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Vui Keong, 60, yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang) di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) mati di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu pada 2 Oktober lalu.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, penganjuran sebarang bentuk ceramah dan syarahan bagi tujuan berkempen oleh mana-mana pihak oleh parti politik sepanjang tempoh berkempen adalah tidak dibenarkan.

Aktiviti ziarah oleh calon parti atau penyokong parti ke rumah-rumah pengundi dan walkabout juga tidak dibenarkan.

Calon juga dimaklumkan hanya boleh berkempen secara atas talian atau melalui saluran media sosial dan pengedaran risalah kempen secara pos.

Dalam hal berkaitan, BN Pusat pada 8 Oktober lalu memaklumkan tidak menyertai PRK Batu Sapi ekoran penularan Covid-19.

Sehari sebelum itu, Ketua Pemuda BN yang juga Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyarankan BN dan Umno tidak meletakkan calon bagi PRK Parlimen Batu Sapi.