Penamaan calon PRK Dun Balakong, Seri Setia diadakan serentak hari ini

Oleh MALAYSIADATELINE

Hari Penamaan calon bagi dua Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) N27 Balakong dan N32 Seri Setia yang diadakan serentak akan bermula pada jam 9 pagi ini.

Calon akan mengemukakan kertas penamaaan calon bagi Dun Balakong di Dewan Utama Demesne Pejabat Daerah/Tanah Hulu Langat dan Dun Seri Setia di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Tempoh masa bagi mengemukakan kertas penamaan calon dijadual selama sejam sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya, di pusat penamaan calon mengumumkan nama calon yang akan bertanding pada PRK di hari pembuangan undi pada 8 September depan.

Bagi dua PRK ini buat pertama kalinya Pakatan Harapan akan mengunakan logo Harapan.

Bagi Dun Balakong Harapan meletakkan Ketua Dapsy Serdang, Wong Siew Ki sebagai calon bagi mewakili parti itu. Manakala di Dun Seri Setia PKR meletakkan bekas Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya Halimey Abu Bakar.

Bagi pembangkang pada PRK kali ini, BN mempertaruhkan calon dari MCA seorang ahli perniagaan Tan Chee Teong di Dun Balakong. Bagi PRK Balakong BN tidak mengunakan logonya,  sebaliknya mengunakan logo parti MCA.

Manakala Pas menamakan bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali sebagai calon parti itu bagi Dun Seri Setia.

PRK Dun Balakong dan Dun Seri Setia diadakan berikutan kematian dua penyangdangnya mediang Ng Tien Chee pada 20 Julai dan Allahyarham Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu.

Ng Tien Chee meninggal dunia kerana kemalangan di Lebuh Raya Grand Saga Cheras dan Shaharudin meninggal dunia  kerana menghidapi kanser usus.