Malaysia Dateline

Penamatan operasi sekolah bersemuka disambut baik

Merujuk kepada surat pekeliling KPM bertarikh 4 Februari 2021 yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Habibah Abd Rahim.

Berkaitan dengan penamatan operasi persekolahan secara bersemuka calon Peperiksaan Awam akan ditamatkan pada 4 Februari 2021.

Dalam surat tersebut, sekolah boleh mengadakan kelas tambahan untuk semua calon dengan syarat mendapat kebenaran ibubapa.

Selain itu, calon peperiksaan yang duduk asrama perlu kekal di asrama melainkan mereka yang ingin pulang menyambut perayaan Tahun Baru Cina dengan dikuarintin 10 hari.

Saya menyambut baik arahan yang dikeluarkan ini memandangkan keadaan pandemik yang tidak reda boleh mengurangkang risiko calon peperiksaan awam dijangkiti.

Selain itu, calon-calon diberikan ruang untuk meredakan ketegangan setelah hampir sebulan belajar secara bersemuka dan dipadatkan dengan segala ilmu akibat tertinggal begitu lama pada tahun 2020.

Namun, saya berpandangan wajar jika pihak KPM menstruktur semula kaedah penilaian markah SPM dengan memberatkan nisbah permarkahan antara pentaksiran berpusat dan kerja kursus.

Jika sebelum ini, kerja kursus hanya dinisbahkan 30% sahaja daripada keseluruhan markah SPM mohon dipertimbangkan dinaikkan nisbahnya kepada 45% ataupun 50%.

Dengan cara ini, kualiti prestasi calon akan lebih seimbang dan rasional memandangkan pentaksiran berpusat kali ini mempunyai kecacatan dari segi jumlah masa mereka belajar bersemuka.

Pastinya penstrukturan ini dilakukan untuk mata pelajaran yang mempunyai kerja kursus sebagai aspek penilaian.

Dengan penstrukturan penilaian ini, tekanan kepada calon yang istimewa ini dapat dikurangkan dan guru-guru mampu memberi input yang benar-benar menjadi teras kepada soalan pentaksiran berpusat.

Ia juga memberikan sedikit kelegaan kepada calon peperiksaan yang sebahagiannya tertekan akibat PKP, pandemik dan peperiksaan awam.

Tidaklah guru dan calon ditekankan untuk melengkapkan semua sukatan pelajaran yang ada ini sedangkan masa adalah terhad.

Semoga tibanya 22 Februari sebagai medan pertama calon peperiksaan diuji, tidak tertekan dan penuh harapan baru untuk berjaya.

————————
Penulis adalah pembaca Malaysia Dateline.