Malaysia Dateline

Perkeso

Penamatan permohonan Program Pengekalan Pekerjaan Perkeso dikecam masyarakat

Tindakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menamatkan permohonan untuk Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) dengan alasan tiada peruntukan dana tambahan mendapat kecaman masyarakat.

Penjelasan mengenai penamatan permohonan ERP itu dimuat naik dalam laman Twitter Perkeso Official pada jam 8.02 pagi semalam apabila ditanya oleh seorang pelayar Twitter tentang kesahihan perkara itu.

“Untuk makluman permohonan untuk ERP telah ditamatkan sepenuhnya berkuatkuasa pada 22 April 2020 memandangkan tiada peruntukan dana tambahan. Oleh itu, sebarang permohonan baharu yang dibuat selepas tarikh berkenaan tidak akan diproses,” tulis admin di laman itu.

Susulan penjelasan tersebut, seorang warga maya Twitter menggunakan nama Nora Hj Bakri menyifatkan kerajaan mengarut.

“Kerajaan mengarut. Macam mana nak hidupkan ekonomi negara. Duit Perkeso itu duit rakyat,” katanya yang mengecam tindakan berkenaan.

Seorang lagi warga maya, Azizul Hakim pula menulis di ruangan komen ‘kena game lagi’.

Walau bagaimanapun, menurut Perkeso, permohonan bagi Program Subsidi Upah (PSU) masih dibuka dan majikan yang layak boleh membuat permohonan menerusi https://prihatin.perkeso.gov.my.

18 Mac lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dilaporkan berkata, Perkeso akan melaksanakan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) yang antara lain membolehkan pekerja swasta yang diberi notis cuti tanpa gaji sejak 1 Mac lalu menerima bantuan RM600 sebulan.

“ERP ini akan memberi bantuan kewangan sementara sebanyak RM600 sebulan pada kadar rata untuk tempoh maksimum enam bulan kepada mana-mana pekerja dan majikan yang memenuhi beberapa syarat kelayakan,” katanya seperti dipetik Astro Awani.