Malaysia Dateline

Penamatan semua MPP: Fahmi bidas dakwaan Annuar

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mempersoal kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berhubung penamatan semua Majlis Perwakilan Penduduk (MPP).

Fahmi berkata, pihaknya terpanggil untuk memberi maklum balas kepada kenyataan menteri Umno itu yang mendakwa MPP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan ditamatkan kerana ‘tidak aktif dan berfungsi dengan baik’.

“Jika benar apa yang beliau (Annuar Musa) katakan, mengapa MPP Zon Lembah Pantai telah diiktiraf apabila menjadi satu-satunya MPP yang diberi anugerah ‘Gold: Cemerlang’ pada Malam Apresiasi, 28 Februari lalu.

“Pengiktirafan itu dibuat oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) sendiri.

“Malah sewaktu program ‘retreat’ MPP, Lembah Pantai diiktiraf pegawai KWP dan DBKL yang hadir, sebagai antara MPP terbaik.

“Maka persoalannya, kenapa MPP Lembah Pantai juga ditamatkan? Adakah pengiktirafan KWP & DBKL ini tidak bermakna?

“Bagaimana pula dengan MPP lain yang turut diiktiraf malam itu?,” soal beliau menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya semalam.

Sekiranya benar ada MPP yang tidak berfungsi, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PKR mencadangkan setidak-tidaknya MPP itu dirombak.

“Rombakan dibuat dengan mengambil kira cadangan YB Parlimen tersebut, bukan semuanya ditamatkan serentak sebegini rupa dan bukan pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa serta penularan wabak Covid-19.

“Sekali lagi, saya bagi pihak rakan-rakan Ahli Parlimen Kuala Lumpur dan Labuan, memohon pertimbangan semula Menteri (Annuar Musa) untuk tidak menghentikan MPPWP,” kata Fahmi lagi.