Penambahan peruntukan pembangunan luar bandar demi mensejahterakan rakyat

Penambahan peruntukan pembangunan luar bandar demi mensejahterakan rakyat

Penambahan peruntukan pembangunan luar bandar kepada RM10.9 bilion dalam Belanjawan 2020 berbanding RM9.7 bilion pada 2019, dapat mensejahterakan masyarakat luar bandar, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata kawasan luar bandar sememangnya perlu diberi perhatian khusus dan keutamaan diberikan terhadap isu-isu sosial serta kemudahan infrastruktur.

“Sebahagian tempat masih memerlukan jalan ke ladang atau kampung yang lebih baik, kemudahan seperti paip air yang terlalu lama perlu diganti dengan yang baharu kerana terdapat penambahan penduduk di kampung. Keperluan itu agak mendesak dan ia perlu diberi tumpuan.

“Di samping itu, penduduk luar bandar juga memerlukan kemudahan seperti apa yang ada di bandar, sebagai contoh penggunaan jalur lebar dan telekomunikasi dengan talian yang lebih baik. Dengan pertambahan peruntukan sebanyak 1.2 bilion ini dapat membantu penduduk luar bandar termasuk di negeri ini selain turut mendapat limpahan pembangunan-pembangunan yang ada,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Graduasi Sekolah Menengah Dato’ Klana Petra Maamor kali keempat semalam.

Mengulas mengenai peruntukan terbesar dalam belanjawan itu yang diterima Kementerian Pendidikan, Aminuddin berkata ia bukan sahaja dapat digunakan untuk menambah baik kemudahan infrastruktur sekolah bahkan boleh menyumbang kepada peningkatan akademik pelajar.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng, ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat semalam, mengumumkan peruntukan sebanyak RM64.1 bilion kepada kementerian itu pada tahun hadapan berbanding RM60.2 bilion pada tahun ini.

— BERNAMA