Penambahbaikan proses haji amat membantu jemaah Malaysia

Penambahbaikan proses haji amat membantu jemaah Malaysia

Proses Ibadah Haji 1439 Hijrah pada kali ini telah berjalan dengan lancar dan banyak pembaharuan serta penambahbaikan yang berjaya dilakukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Dr. Mujahid Yusuf Rawa berkata, proses haji kali ini telah mencapai 90 peratus kejayaan daripada segi operasi.

“Operasi kali ini berjalan dengan lancar walaupun terdapat dua insiden yang tidak diingini berlaku,”

“Antara penambahbaikan yang berjaya dilakukan ialah, proses di terminal dapat diselesaikan dalam masa 1 jam sahaja berbanding 6 jam pada Haji sebelum ini kerana jemaah Haji Malaysia diberikan Pra Pelepasan,”ujarnya semasa sidang akhbar di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Jelasnya, beliau berpendapat pemasangan penghawa dingin di khemah – khemah jemaah di Arafah juga merupakan suatu pembaharuan yang baik.

“Bagi kami warga jemaah, ianya merupakan suatu nikmat dan kesyukuran kerana cuaca yang amat panas di sana menyukarkan para jemaah dan pemasangan penghawa dingin ini dapat mengelakkan masalah dehidrasi untuk meneruskan proses Haji.

“Selain itu, pemasangan lantai seramik di kebanyakan khemah di Mina, juga memberikan peluang kepada para jemaah untuk berisitirehat sebentar,” jelasnya.

Katanya, semasa proses haji dijalankan terdapat beberapa jemaah yang jatuh sakit namun dengan penyediaan 8 buah bas yang dijadikan tempat rawatan dapat membantu jemaah meneruskan ibadah mereka.

“Kami faham kondisi bagi para jemaah di sini bukannya dalam keadaan yang terbaik, dengan penyediaan bas untuk merawat pesakit ini mampu memberikan peluang kepada para jemaah untuk melakukan ibadat tersebut dengan tenang,”

“Di dalam bas tersebut juga terdapat khutbah Arafah untuk para jemaah, pegawai perubatan dan sebagainya,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut menempatkan pegawai kesihatan untuk merawat para jemaah dari bilik ke bilik untuk warga emas dan uzur.

“Dari segi statistik, tahun lalu mencatatkan sebanyak 27 kematian namun pada tahun ini hanya 16 kematian dicatatkan,” katanya.

Turut hadir bersama Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Md Nor Md Yusof.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote