Penampilan anak muda percaturan pertama AMANAH di Johor

Oleh KIM SYAZIE

Sambil menunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan makluman dan tarikh-tarikh penting untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Johor akan datang, Pakatan Harapan (PH) telah memukul gendangnya lebih awal dengan menjadi pakatan paling awal mengumumkan calon mereka dalam PRN Johor kali ini.

Melalui DAP, PH menurunkan Sheikh Omar Ali sebagai calon DUN Paloh yang merupakan penyandang jawatan tersebut dan mantan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri semasa PH memerintah Johor.

Keesokan harinya, AMANAH sebagai komponen kedua dalam PH turut mengumumkan calon pertamanya di Kluang. Calon itu ialah Muhammad Taqiuddin Cheman yang diminta mempertahankan kerusi DUN Mahkota dari jatuh ke tangan BN mahupun PN setelah penyandang sebelum ini, Tuan Muhamad Said Jonit meninggalkan AMANAH. Taqiuddin sebelum ini adalah ADUN Pulai Sebatang.

AMANAH memulakan langkah awalnya dengan mengumumkan Ketua Pemuda AMANAH Johor itu sebagai calon pertama PH di Johor.

Jika DAP mengumumkan calon Melayu sebagai calon pertama mereka di Johor, manakala AMANAH mengumumkan calon anak muda sebagai calon sulungnya.

Diakui bahawa PRN Melaka telah memberikan pengajaran besar bagi PH. Oleh itu, untuk PRN Johor, setiap inci gerak kerja akan diukur, dinilai dan ditimbang semasak-masaknya. Maka penulis melihat pengumuman Taqiuddin sebagai calon sulung AMANAH mampu memberikan kesan baik sebelum memulakan pertarungan.

Taqiuddin bukanlah calang-calang pemimpin yang diturunkan oleh AMANAH. Beliau yang kini memikul AMANAH sebagai Pengarah Pilihan Raya Pemuda AMANAH Nasional mampu membuat kejutan besar dalam PRN kali ini.

Bagi penulis, yang menjadi calon PH di DUN Mahkota ini adalah Panglima Perang Pemuda AMANAH Nasional. Bak kata orang muda, bukan kaleng-kaleng calonnya. Diturunkan seorang pemimpin pilihan raya mereka di Johor untuk mengajar kegopohan dan ketamakan BN-PN yang berpolitik di sana.

Meski bukan ahli mesyuarat kerajaan negeri semasa PH memerintah, namun Taqiuddin telah berperanan sama tarafnya dengan exco-exco lain di Johor.

Atas kapasitinya sebagai Ketua Pemuda AMANAH Johor, meluaskan lagi langkahnya ke pelusuk Johor bagi membantu rakyat. Kematangan politik beliau juga dicapai apabila beliau pernah memangku jawatan Ketua Pemuda AMANAH Nasional setelah perginya penyandang jawatan tersebut mengadap ilahi, Almarhum Shazni Munir Ithnin.

AMANAH berani mengekalkan anak muda sebagai calon mereka di Johor walaupun Johor merupakan negeri kubu kuat BN juga PN (konteks Tan Sri Mahiaddin Md Yasin).

Walau bagaimanapun, mahu memberikan ruang secukupnya buat anak muda, AMANAH mahu pertahankannya. Undi 18 yang akan menjadi ‘game changer’ dalam PRN kali ini mendorong AMANAH melakukan sedemikian.

AMANAH tidak kekok memberikan ruang dan mendengar suara orang muda seiringi umur AMANAH yang baru 7 tahun. Dijangka lebih ramai lagi calon muda akan diturunkan dalam PRN kali ini melibatkan parti-parti yang bertanding termasuk BN dan PN juga.

Pertarungan kali ini adalah pertarungan pemimpin separuh tua dan pemimpin muda kerana masing-masing mahu menawan undi 18 sebagai testimoni awal menuju Pilihan Raya Umum kelak.

Dengan majoriti hanya 1,668 undi semasa PRU ke-14, Taqiuddin harus berusaha dengan lebih pantas untuk mengekalkan dan menambah undi PH memandangkan undi 18 berkuatkuasa dan dijangka pelbagai penjuru akan beradu menawan DUN Mahkota ini.

Selamat berjuang buat saudara Taqiuddin Cheman.