Dengan peruntukan berjumlah RM5 juta serta lebih daripada 1500 bahan bacaan Islamik secara digital menjadikan Penang Islamic Digital Library (PIDL) dan Al-Hady Centre (AHC) sebagai perpustakaan Islam moden pertama berjaya direalisasikan di Pulau Pinang.
Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, PIDL merupakan perpustakaan Islam secara maya yang berkonsepkan moden pertama dibangunkan serta merupakan kesinambungan daripada empat buah perpustakaan digital sedia ada.
“Kerajaan negeri berharap kemudahan PIDL yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan profesional dan para pelajar sebagai sumber maklumat secara digital.
” Al Hady Centre pula berperanan sebagai pusat kajian pemikiran dan ketamadunan Islam Pulau Pinang dan ia merupakan salah satu daripada janji dalam manifesto ‘ Saya Cinta Pulau Pinang’ yang telah berjaya ditunaikan.
“Apa yang disediakan oleh kerajaan negeri ini diharap dapat meningkatkan produktiviti, ilmu pengetahuan serta mempercepatkan usaha memperkasakan matlamat mewujudkan ekosistem dan masyarakat pintar, berpengetahuan tinggi dan berteknologi,” ujar beliau di Georgetown hari ini.
Kedua-dua institusi tersebut (PIDL dan AHC) telah disempurnakan perasmiannya oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.