Malaysia Dateline

Penang Tolak Tambak serah memorandum kepada Suhakam bantah projek PSR

Gabungan Penang Tolak Tambak hari ini menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) bagi membantah cadangan berhubung Projek Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) bagi membina tiga pulau buatan di negeri itu.

Koordinator Penang Forum, Khoo Salma Nasution, merayu agar Suhakam menyiasat sekiranya terdapat tekanan yang diberikan terhadap persatuan nelayan dalam menyuarakan bantahan dan ketidaksetujuan mereka terhadap projek tersebut.

Beliau berkata, demi mempertahankan hak asasi para nelayan, Penang Forum menggesa Suhakam agar menjalankan siasatan penuh terhadap cadangan projek penambakan tersebut yang mengancam nasib nelayan di Pulau Pinang dan Utara Perak.

“Kami menyeru kepada Suhakam untuk memberi nasihat kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, pemaju, pegawai kerajaan, dan pihak berkuasa perikanan untuk menghormati hak komuniti nelayan dalam memberikan pendapat.

“Kami mahu apa-apa rundingan dijalankan secara adil dan telus dengan semua wakil sah yang terlibat dan memerhatikan proses yang sepatutnya dipersetujui bersama.

“Apa-apa percubaan untuk melemahkan kedudukan kolektif Persatuan Nelayan Pulau Pinang melalui rundingan satu sama lain dan menawarkan insentif, atau melakukan tekanan yang tidak wajar melalui paksaan, atau penyalahgunaan kuasa perlu disiasat segera,” katanya di Ibu Pejabat Suhakam, hari ini.

Turut hadir  Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph, Pegawai Suhakam Muhammad Faiz Abdul Rahman dan Datuk S. Ambiga.

Dalam pada itu, Khoo menyeru kepada wakil-wakil politik dan kerajaan untuk menyokong dalam mencari keadilan alam sekitar dengan membantah penambakan pantai tersebut yang memberi kesan kepada puluhan ribu nelayan.

Tambahnya lagi, projek mega itu juga perlu dikaji sama ada ia mematuhi peraturan dan garis panduan yang terkandung dalam Rancangan Fizikal Kebangsaan 2020.

(kiri) Jerald Josep dan (kanan) Muhammad Faiz Abdul Rahman

Sementara itu,  Jerald Joseph yang menerima  memorandum tersebut memaklumkan akan meneliti aduan yang diberikan dan akan melakukan pertemuan dengan pihak terlibat.

Jerald berkata, permasalahan utama yang akan dibincangkan termasuk mengkaji pembangunan yang sesuai dengan kesan yang minimum kepada para nelayan.

“Suhakam telah menerima isu ini dan aduan sejak bulan lalu. Kami sendiri sudah ke Pulau Pinang berjumpa dengan pihak Ngo, terima maklumat serta surat dan buat perbincangan dengan beberapa pihak terlibat.

“Saya difahamkan proses pembangunan yang dijalankan tak melibatkan semua pelakon untuk dijemput mendapatkan maklumat. Tapi kita juga jelas ada mesyuarat yang telah dilakukan dengan ngo ngo yang terjejas.

“Jadi selepas ini kami akan terus berjumpa dengan pihak-pihak yang terlibat untuk kaji kesan jangka pendek dan jangka panjang terhadap nelayan,” ujarnya.