Bukan semua orang mampu menerima bau buah kegemaran rakyat Malaysia, durian, dek kerana ia terlalu kuat hingga boleh menyebabkan mual.
Umum tahu bahawa di Malaysia, durian tidak boleh dibawa masuk ke dalam pengangkutan awam dek kerana ruangan tertutup dan baunya yang terlalu kuat.
Menurut Mothership, seorang konduktor bas di Thailand pitam selepas terhidu bau buah durian hingga menyebabkan kelewatan buat para penumpang.
Kussama Srisong menerusi hantaran di laman Facebook pada 8 September lalu berkata, dia sukar bernafas dan pengsan selepas menghidu aroma raja buah itu.
Bukan mengada-ngada tapi Kussama sebenarnya ada alahan kepada buah tersebut hingga tidak boleh menghidu baunya.
Rupanya di Thailand, pengangkutan awam di sana juga tidak membenarkan penumpang untuk bawa masuk durian.
Selepas menyedari penumpang tersebut membawa durian, dia terus menegurnya kerana buah itu dilarang dalam bas tersebut.
Berdasarkan gambar yang dikongsikan, Kussama dilihat terbaring di atas tempat duduk bas sambil dibantu oleh dua individu.
Insiden tersebut telah menyebabkan perjalanan bas mengalami kelewatan.
“Apabila anda membawa durian ke dalam bas, bukan sahaja anda tidak boleh meneruskan perjalanan.
“Orang lain juga terpaksa pulang lewat ke rumah disebabkan anda,” katanya pada hantaran tersebut.
Baca juga: Rupanya ada teknik masak mee segera, baru tahu kena masak asing-asing mee dan kuah