Malaysia Dateline

Penangguhan pemilihan Umno: Pegawai kerajaan bekerja dalam tekanan politik

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata pegawai kerajaan pada masa ini berada dalam tekanan politik berhubung isu penangguhan pemilihan Umno.

Beliau berpendapat soal kelulusan penangguhan pemilihan Umno sama ada sah atau tidak menyebabkan pegawai kanan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) diheret dengan dakwaan menyalahgunakan kuasa dan menerima rasuah.

“Kasihan pada pegawai kerajaan bekerja dalam tekanan politik kepentingan kuasa.

“Sekejap tangguh sah. Sekejap tidak sah, sekarang sah tangguh pula,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Mahfuz berkata demikian mengulas laporan pengesahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima aduan ke atas pegawai kanan RoS kerana didakwa menyalahgunakan kuasa dan menerima rasuah.

Aduan tersebut didakwa bagi mengubah keputusan yang dibuat pada 6 Ogos lalu iaitu penangguhan pemilihan Umno sebagai tidak sah kepada sah, lapor Utusan Malaysia.

Sehubungan itu, Mahfuz yang juga Naib Presiden AMANAH berkenaan berpendapat isu kaum dan agama diperalat hanya demi kepentingan politik.

“Apabila politik kuasa tersepit, tiup sentimen Cina, kafir, DAP ancam Melayu dan Islam. Mudahnya politik Malaysia untuk berkuasa,” bidasnya.